Kes pandu uji MB Kedah, wanita saman RM3 juta - Utusan Malaysia

Kes pandu uji MB Kedah, wanita saman RM3 juta

MUHAMMAD SANUSI MD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Wanita yang dikaitkan dalam kes pandu uji melibatkan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor memfailkan tuntutan saman bersabit kes itu kepada tiga pihak dengan nilai keseluruhan RM3 juta.

Nini Siron atau nama sebenarnya Hanini Siron menuntut masing-masing RM1 juta daripada Setiausaha Politik Muhammad Sanusi iaitu Afnan Hamimi Taib Azamudden; Mohamad Solhi Mohd. Sharif dan Harakahdaily.

Notis tuntutan itu turut meminta kesemua mereka memohon maaf kepada Nini Siron dalam tempoh 48 jam termasuk dibuat secara terbuka di Facebook, Twitter dan Instagram.

Peguamnya, Faizal Rahman berkata, tuntutan masing-masing RM1 juta itu adalah sebagai ganti rugi atas tindakan buli siber, penghinaan, mendapat nama buruk, tekanan emosi dan pencerobohan data peribadi serta privasi yang dialami anak guamnya.

Selain itu tambahnya, mereka juga dituntut berhenti membuat kenyataan lanjut mengenai anak guamnya dan memadam semua komen menyinggung perasaan daripada platform media.

“Surat tuntutan itu telah dihantar pada 13 Ogos lalu namun kami tidak mendapat maklum balas sehingga kini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Sementara itu, Nini Siron menerusi hantaran di laman sosial Facebooknya, sekali lagi menegaskan isu yang dibangkitkannya berhubung keberadaan Menteri Besar Kedah dalam kes terbabit adalah tulen, munasabah dan jauh sekali fitnah.

Namun katanya, kenyataan dan hantaran pihak-pihak tersebut telah menyebabkannya dihujani komen-komen negatif, kritikan yang teruk, kebencian, gangguan termasuk gangguan seksual serta ancaman daripada pihak ketiga yang asing dan tidak dikenali.

“Sehubungan dengan itu, saya telah mengarahkan peguamcara saya Tetuan Faizal Rahman & Co. mengeluarkan suatu notis tuntutan kepada pihak-pihak tersebut yang perlu ditangani segera menurut notis tuntutan tersebut.

Sekiranya pihak-pihak tersebut gagal untuk memenuhi terma-terma di dalam notis tuntutan tersebut, saya tidak akan teragak-agak untuk mengarahkan peguamcara saya meneruskan sebarang tindakan undang-undang bagi memperbaiki dan/atau melindungi kepentingan dan/atau reputasi saya dan keluarga,” tulisnya.

Dalam pada itu, Afnan Hamimi ketika dihubungi Utusan Malaysia pula memaklumkan, beliau tidak menerima apa-apa tuntutan berhubung kes tersebut sehingga kini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya