KUALA SELANGOR: Fenomena ikan puyu timbul di darat di sebuah kampung di Tanjong Karang, di sini seperti yang tular dalam media sosial baru-baru ini, adalah perkara biasa dan pernah beberapa kali berlaku sebelum ini.
Namun, kemunculan ikan puyu di darat itu dilihat banyak kerana terdapat ternakan spesies air tawar itu milik seorang usahawan tempatan keluar dari kawasan kolam lumpur.
Perkara itu dijelaskan Penghulu Mukim Tanjong Karang 2, Jumasri Jumin yang memaklumkan, fenomena itu cuma dilihat pelik kerana sebelum ini ikan puyu timbul di darat tidak sebanyak seperti berlaku kelmarin.
“Memang biasa nampak ikan puyu muncul di darat tetapi jadi banyak sebab kebetulan jaring tempat ternak ikan puyu milik penduduk tempatan koyak, jadi banyak yang keluar. Spesies puyu pula memang tinggal dalam lumpur tanah liat, malah boleh hidup untuk tempoh lama.
“Punca ikan itu timbul adalah kerana hujan lebat seharian. Sudah berapa lama kawasan ternakan kering dan jarang hujan. Bila ada air ikan puyu akan timbul dan bergerak ke kawasan baharu untuk bertelur,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, tular dalam media sosial kejadian ikan puyu timbul di Kampung Blok A,G dan H di Sawah Sempadan, Tanjong Karang yang menarik perhatian warga maya.
Malah, ada yang menganggap fenomena berkenaan sebagai petanda bencana banjir besar akan berlaku di kawasan itu seperti pernah terjadi sebelum ini.
Jumasri bagaimanapun menafikan fenomena itu mempunyai kaitan dengan banjir, sebaliknya bencana terbabit yang berlaku pada tahun 1970-an itu hanya satu kebetulan selepas banyak ikan puyu timbul di darat.
“Insiden ini orang kampung juga anggap sebagai rezeki kerana ikan puyu memang makanan kami. Berkaitan petanda banjir besar pula itu hanya satu kebetulan sebab macam sekaranglah ikan timbul sebab hujan lama. Bukan sahaja ikan puyu, haruan dan keli pun timbul,” katanya. – UTUSAN ONLINE