Industri pelancongan Pahang rugi hingga RM20 bilion - Utusan Malaysia

Industri pelancongan Pahang rugi hingga RM20 bilion

MOHD. SHARKAR Shamsudin menyerahkan sumbangan wang tunai kepada pengusaha pelancongan di Taman Negara Kuala Tahan di Jerantut, Pahang pada 3 Ogos 2021. - FOTO/NIK NAIZI HUSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Industri  negeri ini kerugian RM18 hingga RM20 bilion akibat perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)  berpunca pandemik Covid-19 sepanjang tempoh 17 bulan lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan,  Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi negeri, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, jumlah kerugian berdasarkan kepada penilaian ekonomi hasil perbelanjaan pelancong yang melawat negeri ini bermula bulan Mac tahun lalu. 

Menurut beliau, dalam tempoh 17 bulan, boleh dikatakan semua sektor industri tidak beroperasi secara konsisten yang turut menjejaskan sumber pendapatan penggiat dan pemain industri pelancongan. 

Katanya, tidak kira berskala besar hingga sekecil-kecilnya, semua turut terjejas dan amat mendukacitakan apabila kebanyakan bergantung 100 peratus sumber pendapatan dalam industri tersebut. 

“Keadaan ini boleh dianggap  ‘parah’ dan  jangan membiarkan ia lebih parah. Justeru kerajaan negeri berpendapat sektor pelancongan perlu dibuka,  kembali beroperasi dalam keadaan yang terkawal, berkala, berperingkat dan bersyarat,” katanya selepas menyampaikan sumbangan wang tunai kepada 251 operator pelancongan di Taman Negara Kuala Tahan di sini semalam. 

Mohd. Sharkar berkata, sektor pelancongan di negeri ini dijangka mula menerima kunjungan bermula 8 Ogos ini apabila kawasan peranginan Bukit Fraser di Raub akan dibuka selepas seluruh penduduk tempatan di situ lengkap dua dos vaksin Covid-19.

“Selang beberapa hari kemudian, Pulau Tioman juga akan di buka untuk pelancong luar diikuti dengan Taman Negara dan seterusnya Cameron Highlands, Genting Highlands, Kuala Gandah,” kata beliau.

Katanya, antara syarat ke pusat-pusat tarikan itu ialah pengunjung diwajibkan membuktikan bahawa mereka telah menerima  vaksin yang lengkap. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya