IPOH: ‘Hampir sama seperti tragedi banjir lumpur di Pos Dipang 25 tahun lalu’.
Demikian kata penduduk Orang Asli Pos Dipang di Kampar mengenai kejadian limpahan air deras yang menghanyutkan serpihan pokok dan bongkah batu dalam kejadian ‘kepala air’ di Gunung Jerai, Kedah, Rabu lepas.
Bagi seorang penduduk Pos Dipang, Apa Bengal, 72, kejadian di Gunung Jerai itu menyebabkan dia teringat tragedi banjir lumpur yang berlaku di kampungnya pada 29 Ogos 1996 yang mengorbankan lebih 40 nyawa penduduk.
Katanya, apatah lagi kejadian kepala air di Gunung Jerai dan tragedi Pos Dipang berlaku dalam Ogos dan selepas hujan.
Katanya, berdasarkan rakaman video dan gambar dalam media sosial, kejadian kepala air di Gunung Jerai kelmarin, hampir serupa dengan apa yang berlaku di Pos Dipang, 25 tahun lalu.
“Berdasarkan rakaman video kepala air yang melanda rumah penduduk di kaki Gunung Jerai, ia seperti ‘naga’ yang turun dari gunung.
“Kejadian di Gunung Jerai menyebabkan kami pun rasa takut, kalau-kalau kejadian sama berulang di kampung kami,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Menurutnya, walaupun tragedi banjir lumpur di Pos Dipang sudah lama berlalu, setiap kali cuaca mendung, langit gelap atau hujan berpanjangan, dia tetap berasa bimbang berulang bencana alam yang sama.
Katanya, setiap kali cuaca mendung, dia dan orang kampungnya yang terselamat dalam tragedi 25 tahun lalu mengingatkan anak-anak mereka supaya berwaspada dan bersiap sedia kemungkinan tragedi sama berulang.
“Tragedi itu sudah 25 tahun, orang muda mungkin tak tahu mengenainya cuma orang tua-tua sahaja yang masih ingat.
“Kejadian kepala air di Gunung Jerai menyebabkan kami lebih berwaspada terutama jika hujan berterusan,” katanya.
Tragedi banjir lumpur di Pos Dipang berlaku dua hari sebelum sambutan ulang tahun hari kemerdekaan negara ke-39 iaitu 29 Ogos 1996 yang mengorbankan lebih 40 nyawa penduduk Orang Asli. – UTUSAN ONLINE