Harapan rakyat terhadap PM, jemaah menteri - Utusan Malaysia

Harapan rakyat terhadap PM, jemaah menteri

MASHITAH MOHD. UDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Rakyat sudah pastinya menaruh harapan  tinggi terhadap barisan pentadbiran Perdana Menteri baharu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam memerangi Covid-19 dan meningkatkan kembali taraf ekonomi mereka yang terkesan teruk sejak tercetusnya pandemik, hampir dua tahun lalu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia Universiti Utara Malaysia (UUM MAPAN), Dr. Mashitah Mohd. Udin berkata, rakyat mahu melihat Perdana Menteri dan barisan jemaah menteri dapat mengurangkan jumlah kes Covid-19 dan dalam masa sama sudah tidak mahu melihat sebarang kemelut politik.

Katanya, dalam tempoh sehingga menjelangnya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), para menteri perlu membuktikan kemampuan mereka sekali gus mengembalikan kepercayaan rakyat khususnya terhadap usaha memerangi pandemik Covid-19.

“Dua perkara penting yang perlu diberi tumpuan adalah mengurangkan kes Covid-19 yang ketika ini terus menunjukkan peningkatan selain pulihkan kembali ekonomi yang menyebabkan rakyat terkesan teruk sepanjang tempoh hampir dua tahun ini.

“Soal perebutan kuasa dan politik perlu segera diketepikan dengan fokus hanyalah kepada kehidupan rakyat agar lebih terjamin. Rakyat sudah cukup sengsara dalam tempoh pandemik ini dengan ada yang hilang pendapatan dan sebagainya.

“Sudah pasti rakyat mahu melihat Perdana Menteri dan barisan jemaah menteri yang baharu dilantik ini membuktikan kemampuan dan memberi komitmen penuh,” katanya.

Tambah Mashitah, Perdana Menteri perlu menggunakan pelbagai strategi, kemahiran, pengetahuan serta jaringan kerjasama bagi memastikan pentadbirannya berjaya.

Katanya, dalam keadaan Ismail Sabri dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan bagi menerajui negara iaitu kurang 22 bulan sehingga PRU-15, sudah pasti tugas beliau cukup berat dan mencabar.

Malah katanya, majoriti sokongan Ismail Sabri di dalam Dewan Rakyat juga hampir sama dengan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Untuk melihat Malaysia maju ke hadapan, Ismail Sabri  memilih konsep ‘Keluarga Malaysia’ untuk diketengahkan. Konsep ini adalah amat sesuai untuk rakyat Malaysia yang pelbagai kaum.

“Dengan cara ini, masyarakat majmuk di negara ini digalakkan supaya lebih bersatu padu dan sama-sama menggembleng tenaga memerangi Covid-19 serta membangunkan semula ekonomi Malaysia,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya