RANTAU PANJANG: Katak, labi-labi, anak ular, burung kakak tua dan iguana bernilai RM67,600 antara ditinggalkan sekumpulan penyeludup ketika diserbu pasukan keselamatan di pangkalan haram Bilal Dollah di sini semalam.
Dalam serbuan Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuala Terengganu pukul 7 petang semalam, kumpulan lelaki yang cuba menyeludup masuk pelbagai haiwan eksotik tersebut berjaya lolos ke Thailand dengan menaiki perahu.
Pegawai Pemerintah Batalion 9 PGA, Superintendan Nor Azizan Yusof berkata, serbuan itu dilakukan hasil intipan pihaknya yang mendapati kumpulan lelaki berkenaan sedang memunggah kotak-kotak mencurigakan naik ke tebing sungai.
“Menyedari kehadiran PGA, mereka terus melarikan diri dan meninggalkan kotak-kotak tersebut sebelum pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan pelbagai jenis haiwan eksotik.
“Kesemua hasil rampasan dibawa balik ke Kompeni Taktikal PGA (Komtak) Taman Bakti, untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Nor Azizan memberitahu, kotak-kotak ditinggalkan mengandungi sebanyak 206 katak, 50 labi-labi, 24 anak ular, tiga burung kakak tua dan seekor iguana.
“Kesemua haiwan itu dibawa masuk secara haram menggunakan laluan yang tidak diwartakan susulan permintaan tinggi dalam kalangan penduduk tempatan,” katanya.
Menurut beliau, kesemua haiwan eksotik itu akan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 60 (1) (a) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.- UTUSAN