PETALING JAYA: Pelawak dan usahawan terkenal, Shuib Sepahtu berharap orang ramai agar menambah pengetahuan tentang kesihatan terutama berkaitan virus Covid-19 yang dilihat semakin menular di negara ini.
Menurutnya, ekoran peningkatan kes harian Covid-19 yang semakin mendadak pada masa ini, dia turut menggalakkan supaya orang ramai mengambil vitamin untuk meningkatkan imunisasi tubuh badan.
Selain itu, Shuib menegaskan supaya orang di luar sana mengambil tahu tentang ilmu kesihatan dan mengambil vaksin kerana sebagai satu ikhtiar sekaligus mengelakkan mereka daripada dijangkiti virus tersebut.
“Kalau berpeluang mengambil vaksin, dipersilakan. Tambahkan juga ilmu pengetahuan tentang kesihatan, ambil tahu tentang virus Covid-19 ini.
“Jika ada rakan-rakan yang merupakan seorang doktor, hubungi mereka bertanyakan apa tindakan yang harus dilakukan jika ada ahli keluarga kita yang dijangkiti Covid-19. Ambil vitamin yang sepatutnya, saya sendiri pun sudah mengalami.
“Disebabkan virus Covid-19, hanya lima hari sahaja nyawa isteri saya direntap dan diambil penciptaNya. Jadi saya tidak mahu anda dijangkiti, InsyaAllah. Jangan ambil mudah, tanya doktor dan perlu ambil tahu tentang Covid-19,” katanya menerusi aplikasi Zoom.