ALOR SETAR: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Kuala Kedah menggagalkan cubaan menyeludup 750 kilogram (kg) daun ketum ke Thailand di kedudukan 0.2 batu nautika dari muara Kuala Sanglang di sini hari ini.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, serbuan dilakukan selepas mengesan sebuah bot fiber yang mencurigakan pada pukul 4 pagi.
“Pemeriksaan ke atas bot berkenaan menemukan 75 bungkusan plastik hitam disyaki daun ketum dengan berat dianggarkan 750 kg bernilai RM135,000.
“Hasil rampasan, bot fiber dan enjin dianggarkan bernilai RM198,000 dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Noor Azreyanti berkata, penyeludup cuba menyeludup melalui jalan laut berikutan harga pasaran semasa di negara jiran mencecah lebih RM180 sekilogram berbanding pasaran tempatan yang hanya RM70 sekilogram.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain berkaitan bahan tersebut.- UTUSAN