Covid-19 bukan halangan tahfiz beroperasi penuh - Utusan Malaysia

Covid-19 bukan halangan tahfiz beroperasi penuh

LAWATAN Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali baru-baru ini ke Pondok Tahfiz Baitussiddiq, Jalan Air Hitam Lendu, Masjid Tanah, Melaka. - UTUSAN/RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Sekurang-kurangnya 30 pusat tahfiz persendirian di negeri ini sedang berdepan kesukaran ibarat ‘telur di hujung tanduk’, berkemungkinan terpaksa menutup operasi sedikit masa lagi andai tiada tindakan drastik diambil kerajaan.

Semakan akhbar ini di laman sesawang Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) mendapati, terdapat sebanyak 34 institusi tahfiz swasta berdaftar dengan pihak berkuasa agama berkenaan iaitu 11 di daerah Melaka Tengah, Alor Gajah (11 buah) dan Jasin (12 buah).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Pengerusi Persatuan Institusi Tahfiz Melaka (Pinta Melaka), Amirul Fadzly Jamil berkata, beberapa pusat tahfiz di sekitar Alor Gajah, Sungai Rambai dan Melaka Tengah menutup sepenuhnya operasi sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 lagi.

Ujarnya, situasi tersebut menyebabkan ramai guru terpaksa diberhentikan manakala para pelajar pula terpaksa mencari pusat tahfiz lain.

Beliau berkata, institusi itu sepatutnya boleh dibenarkan beroperasi seperti biasa dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketat memandangkan pelajar tahfiz secara jelas tidak bercampur dengan pihak luar.

Jelasnya, secara praktikal, pusat tahfiz mengawal ketat pergerakan keluar dan masuk penuntutnya yang mana majoriti mereka menginap di madrasah.

“Pinta Melaka ada mencadangkan kepada kerajaan negeri agar pusat tahfiz dibenarkan dibuka dengan pematuhan SOP yang ketat.

“Pelajar tahfiz hanya tinggal di madrasah dan tidak bercampur dengan pihak luar. Secara tidak langsung ia dapat menjana kewangan pusat tahfiz menerusi kutipan yuran selain membantu kelangsungan rezeki para pendidik,” katanya ketika dihubungi.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, dianggarkan 140 pusat tahfiz di seluruh negara ‘gulung tikar’ atau menutup operasi kerana tidak mampu menampung kos pengurusan kesan pandemik Covid-19 yang menular sejak setahun lalu.

Bendahari Agung Persatuan Madrasah Tahfiz Al-Quran Malaysia (Permata), Datuk Adnan Hashim berkata, jumlah itu mewakili kira-kira 10 peratus daripada 1,400 pusat tahfiz yang berdaftar dengan persatuan tersebut.

Dalam pada itu, Amirul Fadzly menambah, meskipun proses pembelajaran kini terus berjalan secara dalam talian, pihak pengurusan tidak sampai hati untuk mengenakan yuran penuh.

“Pihak pengurusan telah mengurangkan yuran sebanyak 50 peratus, tetapi masih ada ibu bapa yang merayu minta dikurangkan lagi kerana tidak mampu bayar.

“Apabila pendapatan dari sumber utama terjejas, tindakan terakhir adalah dengan menutup pusat tahfiz. Langkah ini bukan sahaja memberi kesan kepada kakitangan tetapi kepada pelajar juga,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN