PASIR PUTEH: Memancing bukan lagi hobi mengisi masa lapang, sebaliknya sebagai sumber rezeki kaki pancing di negeri ini yang rata-ratanya terkesan teruk akibat pandemik Covid-19 berpanjangan.
Malah, tiada lagi istilah ‘rekreasi’ atau suka-suka kerana mereka kini berusaha memancing ikan sebanyak mungkin untuk dijadikan bekalan lauk keluarga atau dijual bagi mendapatkan duit belanja harian.
Mohd. Faizul Muhamad Nor, 29, dari Kampung Gong Chokoh berkata, setelah berbulan-bulan aktiviti memancing rekreasi tidak dibenarkan, dia lega kerana kerajaan akhirnya memberi kelonggaran kepada mereka berbuat demikian.
Ini kerana, dia yang bekerja kampung sudah terlalu lama hilang punca pendapatan akibat tidak dapat bergerak bebas berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selain khuatir dijangkiti Covid-19.
“Kalau dulu, keluar memancing untuk suka-suka, sekarang dengan cara inilah kami dapat cari bekalan lauk untuk sekurang-kurangnya dalam tempoh seminggu. Kalau ada ikan yang lebih, kami jual untuk mendapatkan wang belanja,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Bagi mengelak risiko penularan pandemik, dia hanya berkongsi menyewa bot bersama rakan-rakan yang sudah lengkap menerima suntikan dua dos vaksin.
Seorang lagi pemancing, Mohd. Hakim Fauzi, 20, berkata, kebiasaannya, hasil laut yang diperoleh adalah ikan gred A seperti tenggiri, jemuduk, ebek, mani abu dan kerapu yang dijual pada harga tinggi antara RM25 hingga RM35 sekilogram.
“Kos sewa bot bersama dengan khidmat tekong ke lubuk ikan bergantung kepada bilangan hari dan jarak destinasi. Paling jauh kita pergi untuk mencari unjam dan lubuk ikan ialah 90 kilometer dari daratan dengan caj RM1,200 bagi tempoh 24 jam.
“Satu bot dibenarkan membawa enam pemancing. Jadi kami mengeluarkan modal sebanyak RM200 seorang tidak termasuk kos umpan dan bekalan makanan. Alhamdulillah, setakat ini rezeki kami murah kerana dapat menjadikan aktiviti ini sumber rezeki yang halal,” katanya.
Antara lokasi kaya dengan hasil laut dan menjadi tumpuan kaki pancing ialah sekitar perairan Pengkalan Payung, dekat sini kerana dipenuhi tukun berasal dari sisa kapal nelayan Vietnam yang ditenggelamkan pihak berkuasa. – UTUSAN ONLINE