Bekas Presiden ABIM, Dr. Siddiq meninggal dunia - Utusan Malaysia

Bekas Presiden ABIM, Dr. Siddiq meninggal dunia

Datuk Dr Siddiq Fadzil
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Datuk Dr Siddiq Fadzil meninggal dunia di sebuah hospital swasta di Bangi dekat sini pada pukul 6.32 petang ini.

Perkara itu disahkan anak Allahyarham, Fadhlina Siddiq dalam Facebook beliau hari ini.

“Innalillahi wainnailaihi rojiun. Dengan berat hati, saya memaklumkan ayahanda kami telah pergi selamanya,” tulis Fadhlina tanpa memberitahu punca pemergiaan beliau.

Sebelum ini, Allahyarham dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pakar Annur di Bangi dan memerlukan bantuan alat pernafasan.

Selain menjadi  Presiden ABIM ketiga, Siddiq, 74, tokoh pemimpin gerakan Islam itu juga pernah dilantik sebagai Presiden Kolej Dar al-Hikmah dan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Allahyarham pernah dinobatkan sebagai  Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan 2018, Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM), Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Presiden Wadah Pencerdasan Umat (Wadah) yang pertama.

Selain pernah menerajui gerakan Islam, beliau pernah menjadi pemimpin gerakan belia dan sezaman dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam pada itu, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu menyifatkan berita pemergian Allahyarham sebagai kehilangan buat negara khususnya dalam Amanah yang menerima sentuhan dan pandangan beliau seawal penubuhan parti itu.

“Allahyarham adalah guru dan kawan yang meninggalkan legasi yang besar kepada pendidikan dan dakwah di Malaysia. Moga Allah kurniakan setinggi-tinggi pengampunan dan ditempatkan bersama orang orang yang soleh buat beliau,” katanya.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya