SIK: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) berjaya menangkap seekor gajah jantan yang dikesan kerap memasuki Kampung Kubang Belantik di sini semalam.
Gajah seberat kira-kira dua tan itu berada di kampung itu untuk makan buah-buahan, selain memusnahkan tanaman penduduk sejak lebih sebulan lalu.
Pengarah Perhilitan Kedah, Jamalun Nasir Ibrahim berkata, gajah jantan yang ditangkap itu digelar ‘Awang Belantik’ dianggarkan berusia antara 18 hingga 20 tahun.
Menurutnya, gajah itu ditangkap di kawasan kebun getah berdekatan sebuah rumah penduduk kira-kira pukul 11 pagi semalam.
Katanya, operasi menjejak dan menangkap mamalia itu dilakukan oleh Unit Tangkapan Gajah (UTG) Kedah yang mengambil masa kira-kira dua jam.
“Gajah tersebut tidak bertindak agresif semasa usaha menangkapnya dijalankan.
“Berkemungkinan gajah itu sudah terbiasa dengan penempatan manusia. Disebabkan itu, haiwan tersebut tidak merasa terancam apabila ditangkap,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, pihaknya percaya Awang Belantik terpisah daripada kumpulannya dan mencari makan secara bersendirian sebelum memasuki kawasan penempatan tersebut.
Tambahnya, gajah itu akan dipindahkan ke Hutan Simpan Belum di Temenggor, Perak pada Khamis ini.
“Kerja-kerja memindahkan gajah jantan itu akan dilakukan oleh pasukan dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) yang berpangkalan di Kuala Gandah, Lanchang, Pahang.
“Pasukan itu akan hadir bersama dua gajah denak yang akan turut membantu untuk memindahkan ‘Awang Belantik’ nanti,” katanya. – UTUSAN