BAGAN SERAI: Pentadbiran kerajaan negeri tidak terjejas berikutan keputusan UMNO yang menarik balik sokongan terhadap Perdana Menteri.
Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria berkata, tindakan UMNO itu berlaku di peringkat Pusat dan tidak mengganggu pentadbiran di Perak.
Menurutnya, Pas tetap menghormati pendirian UMNO semalam.
“Pas masih berpegang kepada akuan bersumpah menyokong Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad yang ditandatangani pada Disember lalu.
“Selepas berlakunya peralihan kuasa daripada Pakatan Harapan (PH), 59 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) telah memberi kepercayaan kepada Menteri Besar.
“Jadi, dalam isu siapa yang nak tarik diri atau keluar di peringkat pusat, itu tidak menjejaskan urus tadbir negeri ini,” katanya.
Beliau berkata ditemui pemberita selepas menyerahkan sumbangan barang keperluan harian Econsave Cawangan Bagan Serai kepada penduduk di Kampung Tepi Kolam di sini hari ini.
Razman, yang juga exco kerajaan negeri berkata, ketika ini kerajaan negeri lebih memberi fokus membantu rakyat yang terjejas akibat Covid-19.
“Sidang DUN Perak akan diadakan pada 25 Ogos ini, ia akan berjalan seperti biasa,” katanya. – UTUSAN