PETALING JAYA: Kumpulan nasyid terkenal Inteam menjelaskan sebagai duta selebriti MyAqsa Defenders (MAD) mereka tidak pernah menerima bayaran walaupun satu sen.
Malah, kumpulan yang terkenal dengan lagu Nur Kasih itu memberitahu mereka menggunakan duit sendiri sepanjang menjadi duta selebriti MAD.
Jawapan itu bagi menjawab persoalan seorang pengguna media sosial yang menggunakan nama ‘Ambo Hanif’ yang bertanyakan soalan mengenai jumlah komisen yang diterima sebagai selebriti menerusi ruang komen Facebook Inteam.
“Dalam town hall ini ada bentangkan berapa MAD beri komisen untuk selebriti-selebriti yang menjayakan projek kemanusiaan ini?” soal Ambo Hanif.
“Setakat ini tiada satu sen pun kami dapat. Boleh sahaja hendak bentang, keluar duit sendiri lagi adalah,” jawab Inteam.
Inteam sebelum itu memuat naik poster ‘Town Hall Khas’ yang akan diadakan menerusi Facebook MAD pada pukul 9 malam ini.
Townhall itu akan menjelaskan beberapa perkara kepada masyarakat sebagai pemegang taruh daripada segi pengurusan dan operasi MAD di Gaza, Palestin.
Majlis itu juga sebagai ruang berkongsi jawapan mengenai beberapa persoalan yang menjadi tanda tanya mutakhir ini.- UTUSAN ONLINE