KOTA KINABALU: Kegagalan kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengendalikan pembatalan Ordinan Darurat jelas menunjukkan kerajaan tidak menghormati peranan Yang di-Pertuan Agong di negara ini.
Susulan itu, Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee menggesa rakyat agar menolak Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk terus mengetuai negara.
Pemimpin DAP Sabah ini berkata, selaku belia dan wakil rakyat yang masih baharu, beliau agak terkejut dan tidak percaya dengan tindakan Perdana Menteri dalam menguruskan pandemik Covid-19.
“Ketika kita ingin memberi fokus untuk berbahas mengenai isu berkaitan pandemik yang menjejaskan kehidupan rakyat, kita kini terperangkap dengan kemelut dan propaganda yang dimainkan sendiri oleh pemimpin kerajaan.
“Situasi ini cukup jelas membuktikan kerajaan Perikatan Nasional (PN) gagal kerana diketuai oleh pemimpin yang hanya pentingkan kedudukan sendiri,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.
Jelas Vivian, golongan belia amat menghargai tindakan Agong yang mendedahkan situasi sebenar agar rakyat di negara ini tidak terus menjadi mangsa permainan politik.
Katanya, persidangan Parlimen pula hanya dibenarkan bertanya soalan mengikut giliran yang ditetapkan dengan masa yang terhad. Malah, ahli Parlimen tidak diberikan masa mencukupi untuk perbahasan.
“Saya kagum dengan cara pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini yang membenarkan wakil rakyat berbahas dan bertanya seberapa banyak soalan yang diinginkan biarpun sidang Parlimen berakhir pada 11 malam.
“Perdana Menteri ini sangat berani mengingkari titah Agong dengan tidak membenarkan perbahasan Ordinan Darurat dilakukan di Parlimen malah, bertindak membatalkan Ordinan tanpa mendapat perkenan Agong,” katanya.- UTUSAN ONLINE