Tempoh 48 jam buat si penipu mohon maaf - Siti Sarah - Utusan Malaysia

Tempoh 48 jam buat si penipu mohon maaf – Siti Sarah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Penyanyi dan usahawan terkenal, Siti Sarah Raisuddin, 37, memberi tempoh 48 jam buat seorang wanita berusia 30-an yang dikesan melakukan penipuan terhadap pelanggan tudung jenama Loveta supaya segera membuat permohonan maaf secara terbuka.

Menurut Sarah, pihaknya telah mengenal pasti butiran mengenai individu tersebut namun kesal kerana selepas dihubungi, tiada sebarang respons diterima daripadanya.

“Saya dapat tahu mengenai perkara ini semalam selepas mengadakan satu mesyuarat secara maya dengan kakitangan syarikat. Mereka berkira-kira nak beritahu awal kerana memikirkan keadaan saya yang sedang sarat mengandung tujuh bulan.

“Tetapi perkara ini bukan satu mainan dan harus dipandang serius. Saya terkejut kerana individu itu rupanya bukan sekali, tetapi sudah berkali-kali melakukan penipuan itu terhadap pelanggan kami sejak dua bulan lalu,”katanya.

Sarah berkata demikian semasa ditemui dalam sidang media tergempar yang diadakan petang tadi.

Terdahulu, satu laporan polis berhubung perkara ini telah dibuat di Balai Polis Mutiara Damansara pada pukul 6.30 petang dan Sarah telah diwakili oleh Pegawai Pemasaran Loveta iaitu Rizam Mahyuza Morsit, 42.

Jelas Sarah, dia bagaimanapun tidak dapat mengenalpasti berapa jumlah kerugian sebenar termasuk berapa orang pelanggan yang telah ditipu oleh wanita berkenaan dalam kejadian ini.

“Dalam tempoh dua bulan ini, ada beberapa pelanggan yang telah membuat aduan di Instagram Loveta, sama ada yang membeli tudung mahu pun gaun. Seorang pelanggan kerugian RM600, kalau empat orang sudah berapa? Itu aduan yang kami terima.

“Itu tidak termasuk jika ada pelanggan yang terkena tetapi belum melaporkan kepada kami. Saya difahamkan, wanita tersebut menggunakan modus operandi mengatakan semua produk perlu pra-tempahan dan pelanggan perlu membuat bayaran kepadanya.

“Sedangkan, promosi yang sedang dibuat oleh Loveta kini tiada pun pra-tempahan kerana produk sudah sedia ada. Kami juga tidak menerima sebarang senarai tempahan daripada individu tersebut menyebabkan pelanggan berang kerana tidak menerima barangan walau sudah buat bayaran,”katanya.

Mengaku sangat sedih dan kesal dengan perkara tersebut, Sarah tidak terfikir kejadian seperti itu akan berlaku pada dirinya kerana niat asalnya membuka perniagaan dan membuat promosi jualan pada ketika ini adalah demi membantu orang ramai yang sedang terjejas akibat pandemik.

Katanya, laporan polis juga terpaksa dilakukan olehnya memandangkan perkara ini dilihat mampu menjejaskan nama baik dirinya dan syarikat selain sebagai satu usaha menjauhkan prasangka buruk terhadap ejen-ejen sedia ada.

“Niat saya nak bantu orang tapi tak sangka perkara macan ini pula yang berlaku. Saya perlu buat tindakan tegas ini demi membaik pulih nama baik sendiri, syarikat dan ejen-ejen yang selama ini bertungkus-lumus memberikan perkhidmatan yang baik dan jujur.

“Boleh sahaja saya dedahkan siapa wanita itu sementelah juga tahu di mana dia tinggal. Tapi saya masih bertimbang rasa dan memberikan dia tempoh 48 jam untuk buat permohonan maaf secara terbuka dalam bentuk video, selesaikan segala masalah yang dilakukan termasuk kepada pelanggan-pelanggan yang ditipu.

“Jika dia masih berdiam dan berdegil, saya dan peguam akan berbincang langkah seterusnya termasuk tidak teragak-agak untuk bertindak lebih tegas,”katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya