MELAKA: Jualan lemang sempena Hari Raya Aidiladha di Melaka tahun ini merosot kerana majoriti peniaga terpaksa bergantung sepenuhnya kepada pelanggan tetap dan masyarakat sekitar yang singgah pada saat akhir untuk mendapatkan juadah itu.
Seorang peniaga, Nur Hidayah Yusuf, 32, berkata, tahun ini dia hanya menerima tempahan sebanyak 300 batang lemang berbanding 3,000 pada tahun sebelumnya.
Katanya, sekatan pergerakan penuh yang melarang orang ramai merentas daerah dan negeri menyebabkan jualan hanya bergantung kepada penduduk setempat serta pelanggan tetap.
“Sambutan agak kurang sedikit berbanding sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan. Orang ramai tidak boleh balik kampung, jadi saya sendiri tak jangka boleh jual banyak atau tidak,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurutnya, corak pembelian pelanggan juga berubah apabila mereka hanya membeli lemang dalam kuantiti yang sedikit.
Sementara itu, seorang lagi peniaga, Mastura Suleiman, 33, berkata, dia langsung tidak menerima sebarang tempahan lemang pada sambutan Hari Raya Aidiladha kali ini.
Bagaimanapun, katanya, dia tetap membakar 2,000 batang lemang untuk dijual kepada pelanggan yang singgah ke gerainya.
“Kesemua lemang ini dijangka habis. Biasanya saya buka gerai pada hari raya tetapi kena lihat dulu macam mana sambutan pelanggan,” katanya. – UTUSAN ONLINE