KOTA KINABALU: Setiap kali menjelang musim perayaan, tempahan kelupis sentiasa menjadi pilihan masyarakat dari suku kaum Brunei dan Bisaya yang tinggal di kawasan pantai barat Sabah.
Begitu juga sempena Hari Raya Aidiladha kali ini, walaupun tiada aktiviti rumah terbuka dan kunjung-mengunjung dibenarkan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pengusaha kelupis masih menerima tempahan pada saat-saat akhir.
Salinah Ahmat, 33, berkata, dia bersyukur kerana dalam keadaan pandemik Covid-19, suri rumah sepertinya masih boleh menjana pendapatan menerusi tempahan membuat kelupis.
Kata wanita itu, lazimnya setiap kali musim perayaan, tidak kira Hari Raya Aidilfitri mahu pun Aidiladha pasti ada pelanggan membuat tempahan kelupis.
Biarpun tempahan yang diterimanya bukan dalam kuantiti yang banyak tetapi ia memberi pendapatan tambahan untuk mereka sekeluarga.
“Sempena Aidiladha kali ini, saya menyiapkan tempahan kelupis sehingga hari terakhir kerana masih ada pelanggan membuat tempahan.
“Walaupun berasa letih kerana ada tempahan pada hari-hari terakhir, namun saya berasa puas hati apabila semua tempahan kelupis dapat disiapkan untuk dihantar kepada pelanggan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Ceritanya lagi, dia belajar membuat kelupis daripada ibunya sejak di bangku sekolah. Bermula dengan membantu ibu membungkus kelupis, sekarang dia sendiri mahir membuat juadah itu seterusnya mengambil tempahan daripada pelanggan.
Katanya, cara membuat kelupis hampir sama dengan ketupat palas kerana kedua-dua bahan asas adalah beras pulut dan santan. Bezanya kelupis dibungkus menggunakan daun irik manakala ketupat pula menggunakan daun kelapa muda atau daun palas.
“Jika ketupat perlu direbus, kelupis pula perlu dikukus sehingga beras pulutnya masak. Kemudian barulah boleh dimakan bersama kuah kacang mahupun rendang,” katanya.
Menurut Salinah, sempena Hari Raya Aidiladha kali ini dia menerima 500 biji tempahan kelupis berbanding tahun-tahun sebelumnya yang boleh mencecah lebih seribu biji. – UTUSAN ONLINE