MELAKA: Ramai peniaga dodol cair di negeri ini yang sudah ‘tutup kedai’ kerana terjejas teruk susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Peniaga dodol cair Hutan Simpan Sungai Udang, Masnawi Yusof, 40, berkata, jumlah peniaga yang menjual juadah berkenaan ibarat cendawan tumbuh selepas hujan, setelah ia tular ke seluruh negara dua tahun lepas.
Bagaimanapun, katanya, situasi kini sangat berbeza, apabila ramai yang tidak mahu berniaga makanan tradisional itu lagi ekoran dihimpit kemerosotan pendapatan sehingga 80 peratus gara-gara larangan rentas daerah serta negeri.
“Sebelum PKP, hari biasa saya akan sediakan sehingga 50 mangkuk dodol sehari dan jumlah itu meningkat kepada 100 mangkuk setiap Jumaat hingga Ahad kerana ramai pelancong yang singgah.
“Sekarang saya hanya masak satu kawah, itu pun tidak banyak. Dalam sehari adalah seorang dua pelanggan, ada masanya tiada langsung yang datang,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut Masnawi, sebelum ini dia dibantu empat orang pekerja, namun kesemuanya telah berhenti kerana tidak mampu lagi membayar gaji.
“Saya mengambil inisiatif mempromosi dodol di media sosial dan ia menarik perhatian pembeli di Terengganu, Lembah Klang dan Johor,” ujarnya yang telah berniaga dodol cair selama lapan tahun.
Mengenai persiapan Hari Raya Aidiladha, katanya, setakat ini dia belum menerima sebarang tempahan.
“Keadaan ini sama seperti Aidilfitri lepas apabila jualan merosot sebanyak 70 peratus kerana orang ramai tidak berasa suasana raya seperti sebelumnya.
“Bagaimanapun, pelanggan akan membuat tempahan. Saya hantar sendiri kepada pelanggan yang tinggal di sekitar Melaka sementara yang jauh akan menggunakan perkhidmatan kurier,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE