LONDON: Sergio Busquets mengakui pasukannya sangat bertuah memiliki jurulatih berkaliber seperti Luis Enrique, yang berjaya memimpin Sepanyol menjejakkan kaki ke saingan separuh akhir Euro 2020 menentang Itali.
Kata pemain tengah Barcelona itu, yang kembali ke pangkuan skuad La Roja selepas sembuh daripada Covid-19, segala kerja yang dilaksanakan Enrique sangat menakjubkan.
“Itali mempunyai ramai pemain berkualiti seperti Jorginho, Marco Verratti dan Lorenzo Insigne. Mereka pemain yang bagus dan pandai mengawal bola.
“Kami akan cuba elak daripada melakukan kesilapan atau memberi ruang kepada mereka untuk membuat percubaan.
“Sejujurnya, bukan mudah untuk berada di sini (separuh akhir). Bola sepak telah banyak berkembang dan ia agak sukar memenangi perlawanan kerana kesemua pasukan bekerja keras.
“Pemain, secara individu telah banyak meningkat dalam segenap aspek iaitu metaliti, fizikal dan pemakanan berkhasiat.
“Bagaimanapun saya tahu, Luis bekerja dengan sangat baik. Agak sukar untuk melihat jurulatih berkaliber bersama skuad kebangsaan, biasanya mereka mengendalikan kelab selama semusim.
“Kami bernasib baik dan berhak mendapat Luis. Dia mengembangkan ideanya, bekerjasama dengan kumpulannya, dengan pemain yang dia percayai, di samping cita-cita besar yang dipamerkan di atas padang,” kata Busquets.- AGENSI