KANGAR: Kegagalan menguruskan masa pada tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) seperti tidur berpanjangan, makan tidak mengikut waktu selain leka bermain telefon mengundang pelbagai kemudaratan sama ada jangka pendek atau panjang.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, ibu bapa perlu memainkan peranan dalam memastikan seluruh ahli keluarga sentiasa berkomunikasi antara satu sama lain.
Baginda bertitah, hal demikian bagi membentuk nilai kebersamaan dalam keluarga dan mewujudkan suasana yang lebih ceria serta harmoni di rumah khususnya terhadap anak-anak melalui pengisian pelbagai aktiviti secara bersama yang bermanfaat.
“Ibu bapa harus memastikan masa yang ada difokuskan sepenuhnya dan diuruskan dengan baik bersama ahli keluarga serta anak-anak agar setiap ahlinya tidak terasa diabaikan hingga mewujudkan perasaan hidup dalam dunia sendiri walaupun berada di dalam rumah sama.
“Ini penting bagi memastikan tahap kesihatan mental dan fizikal seluruh ahli keluarga sentiasa baik terutama dalam mengharungi cabaran dan situasi semasa yang sedang berlaku,” titah baginda selepas berangkat mengadakan tinjauan bulanan ke kawasan pelaksanaan projek Diraja program tranformasi Kampung Seberang Ramai, Kuala Perlis oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis di sini hari ini.
Hadir sama Timbalan Ketua Polis Perlis, Asisten Komisioner Baharudin dan Pengarah SWCorp negeri, Shamsuharizal Basir.
Sementara itu, baginda tertitah, pelbagai isu berkaitan alam sekitar dan sisa domestik seperti pembuangan sisa plastik di merata-rata tempat dilaporkan saban hari.
“Kuala Perlis tidak ketinggalan menjadi tempat tumpuan yang memerlukan kerjasama segenap peringkat masyarakat setempat bagi memastikan ia diuruskan dengan bijak dan bertanggungjawab sepanjang masa,” titah baginda. – UTUSAN