PUTRAJAYA: Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) menyifatkan pentadbiran Perikatan Nasional (PN) ketika ini sebagai kerajaan gagal tidak boleh diharap rakyat untuk mengurus negara.
Pengerusinya, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, kegagalan itu terbukti apabila pandemik Covid-19 di negara ini sudah semakin teruk, malah ramai rakyat yang tertekan dan bunuh diri.
“Bilangan kes (Covid-19) dilaporkan setiap hari semakin teruk. Kita (Malaysia) jadi negara yang teruk sekali di dunia, ini semua hasil daripada kerajaan gagal dan tidak cekap,” katanya dalam sidang akhbar Pejuang secara maya yang turut disertai Presiden parti itu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan kepemimpinan Pejuang.
Ini adalah penampilan rasmi pertama Pejuang setelah permohonan sebagai parti politik akhirnya diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan dan Kementerian Dalam Negeri hari ini.
Mengulas lanjut, bekas Perdana Menteri itu berkata, kelemahan PN itu menyebabkan Pejuang mengambil pendirian untuk tidak terlibat dalam kancah permainan politik buruk blok tersebut.
“Ini bukan masa untuk berpolitik, ini masa untuk rakyat yang teruk menderita hidup susah, dan sebab itu kami tidak mahu bekerjasama dengan kerajaan PN yang jelas tidak cekap,” ujarnya.
Pejuang jelas Dr. Mahathir, namun tidak pula akan membawa usul hilang kepercayaan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada sesi persidangan Parlimen akhir bulan ini. – UTUSAN ONLINE