PUTRAJAYA: Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam ditutup satu hari pada hari ini susulan kes positif Covid-19 yang dikenal pasti dalam kalangan petugas di PPV tersebut.
Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) memaklumkan, langkah segera penutupan itu diambil hasil daripada keputusan ujian Covid-19 yang diperoleh malam tadi bagi membolehkan kerja-kerja sanitasi dijalankan.
Justeru, CITF menyarankan mereka yang hadir untuk vaksinasi di IDCC di antara 29 Jun hingga semalam untuk membuat penilaian kendiri dan sekiranya bergejala supaya menjalankan ujian saringan Covid-19 sebagai langkah berjaga-jaga.
“Janji temu yang diberikan pada hari tersebut dijadualkan semula kepada satu tarikh yang akan dimaklumkan secepat mungkin.
“Butiran lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. Sebarang pertanyaan, sila hubungi 03-88934303,” katanya dalam kenyataan hari ini. – UTUSAN ONLINE