SHAH ALAM: Peratusan pelajar cemerlang peperiksaan Sijil Menengah Agama (SMA) di Selangor pada tahun lalu dilaporkan menurun sebanyak 1.2 peratus, berbanding 2019.
Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, seramai 2,925 calon yang meliputi 23 buah Sekolah Agama Menengah (SABK), 13 buah Sekolah Menengah Islam, empat buah Maahad Integrasi Tahfiz (MITS) dan beberapa sekolah swasta dan persendirian.
“Pada tahun lalu, keputusan cemerlang bagi SMA adalah 95.2 peratus, berbanding 96.4 peratus pada tahun 2019.
“Walaupun terdapat penurunan daripada segi prestasi, saya percaya pihak sekolah, guru dan ibu bapa telah melakukan usaha sehabis baik bagi memastikan keputusan terbaik dicapai anak mereka ketika menduduki kesemua peperiksaan dalam pandemik Covid-19,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengumumkan keputusan SMA, Sijil Menengah Agama Tahfiz Al’Quran (SMATQ) dan Sijil Menengah Agama Turath dan Dakwah (SMATD) dalam sidang video menerusi Facebook JAIS, hari ini.
Mohd. Shahzihan menambah, dari segi pecahan mengikut jenis sekolah, menurutnya, kelulusan bagi SABK dalam peperiksaan tersebut adalah 97.5 peratus, penurunan sebanyak 0.9 peratus dalam tempoh sama.
Bagi MITS pula, pencapaian tahun lalu adalah sama seperti pada tahun 2019 iaitu kelulusan 100 peratus.
“Jumlah calon SMA yang mendapat keputusan Mumtaz (cemerlang) adalah 348 calon, berbanding 888 calon pada tahun 2019.
“Jumlah calon yang mendapat pangkat Maqbul (lulus) adalah 754 calon, iaitu peningkatan sebanyak 16 peratus dalam tempoh sama,” katanya. – UTUSAN ONLINE