KLANG: Permohonan bantuan bakul makanan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang didakwa meningkat dan sehingga kini lebih 2,000 permohonan diterima pejabat DUN itu.
Ahli Dewan Undangan Negerinya (ADUN), Azmizam Zaman Huri berkata, permohonan itu lebih mendadak sejak minggu lalu apabila ia boleh dibuat secara dalam talian menerusi aplikasi Google Forms.
Selain itu, menurut beliau, peningkatan tersebut turut berlaku apabila kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pada 3 Julai lalu di negeri ini.
“Memang terdapat peningkatan mendadak permohonan bantuan di pejabat DUN ini, berbanding ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan beberapa kali lebih setahun lalu.
“Saya dan pasukan menyediakan lebih 1,000 bakul makanan pada fasa pertama bantuan, seperti diumumkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari beberapa minggu lalu,” katanya ketika ditemui di Taman Telok Gedung Indah di sini semalam.
Kata Azmizam, DUN Pelabuhan Klang turut mengesan tujuh bendera putih dikibarkan dalam kawasannya dalam tempoh seminggu lalu.
Orang ramai yang memerlukan barang asas boleh menghubungi pejabat DUN Pelabuhan Klang di talian 017-2434200 untuk mendapatkan bantuan.
Sementara itu, Azmizam meminta kerajaan supaya membuka pusat vaksinasi bergerak di kawasan yang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Katanya, perkara ini perlu dilakukan bagi mengurangkan risiko seseorang individu di kawasan tersebut dijangkiti Covid-19.- UTUSAN