KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan akan memberi kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menyiasat kes rasuah lebih RM27 juta didakwa melibatkan bekas Pengurus Besar Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB).
Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan, Mohd. Asri Mat Daud berkata, Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob mengambil perhatian kes penahanan bekas Pengurus Besar dan pegawai AKSB sebagaimana dilaporkan semalam.
“Kerajaan Negeri Kelantan akan memberi sokongan dan kerjasama melalui AKSB kepada pihak SPRM bagi membantu siasatan selaras dengan peruntukan undang-undang yang ada.
“Dalam pada itu, prinsip tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah perlu sentiasa dipegang. Semua pihak perlu memberi kepercayaan penuh kepada siasatan yang sedang dijalankan oleh SPRM,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Akhbar ini hari ini melaporkan, tiga individu termasuk seorang bekas Pengurus Besar dan seorang pegawai AKSB direman tiga hari bermula semalam selepas dipercayai terlibat dalam kes rasuah membabitkan projek bernilai lebih RM27 juta.
Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Rozaidi Yaacob di Mahkamah Majistret di sini mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi memboleh SPRM menjalankan siasatan lanjut.
Ketiga-tiga suspek yang berusia 60,42 dan 39 tahun itu dipercayai menerima wang tersebut daripada beberapa syarikat untuk menjalankan projek dikendalikan di bawah AKSB.- UTUSAN