Negara tak iktiraf vaksin diguna negara lain perlu ada alternatif  - Utusan Malaysia

Negara tak iktiraf vaksin diguna negara lain perlu ada alternatif 

KHAIRY Jamaluddin ketika hadir meninjau pengoperasian PPVIN KLIA yang juga PPV Sektor Pengangkutan Udara di KLIA.-UTUSAN/ FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Sebahagian besar negara di seluruh dunia belum memuktamadkan dasar imigresen yang jelas berhubung kemasukan ke negara masing-masing susulan kepelbagaian penggunaan vaksin Covid-19 ketika ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, sehubungan itu, semua negara perlu mempunyai kesepakatan dalam menentukan dasar imigresen yang jelas dan dipersetujui secara bersama.

“Ada negara mengeluarkan syarat-syarat tertentu, contohnya vaksin yang hanya diguna di negara itu. Jadi, ini adalah proses perbincangan yang berterusan dengan negara lain.

“Yang penting sekarang ialah strategi untuk Malaysia ialah Arab Saudi, Singapura, United Kingdom, Amerika Syarikat dan China kerana ini adalah destinasi paling popular sama ada untuk bercuti atau perniagaan,” katanya selepas melawat pusat pemberian vaksin industri (PPVIN) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini.

Sementara itu, Khairy sekali lagi menegaskan pendirian Malaysia iaitu semua vaksin yang disenaraikan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) perlu diiktiraf.

Katanya, sebagai alternatif, jika sesebuah negara tidak mengiktiraf sesetengah vaksin, ia perlu mempertimbangkan mengenakan ujian saringan dan kuarantin terhadap pengembara yang sudah divaksinasi.

 “Kalau (negara itu) tak iktiraf vaksin yang (Malaysia) gunakan, macam mana? Takkan kita nak suntik banyak kali,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Khairy yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) berkata, Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) akan memperluaskan pembukaan PPVIN bagi perkhidmatan sektor pengangkutan udara ke lapangan terbang lain di seluruh negara.

Katanya, pihaknya sudah meluluskan pengoperasian PPVIN untuk sektor pengangkutan udara bagi pemberian vaksin terhadap 22,243 petugas barisan hadapan yang berkhidmat di KLIA sejak Isnin lalu.

“Ini sektor penting yang masih beroperasi sewaktu perintah kawalan pergerakan. Walaupun ada pengurangan penerbangan di lapangan terbang di Malaysia, namun sektor ini beroperasi.

“Untuk kita melindungi kakitangan terbabit, CITF memutuskan untuk mengutamakan sektor pengangkutan udara dalam PICK bawah industri perlu,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, pada minggu pertama bulan ini, CITF meluluskan 27 PPVIN selain menerima cadangan pembukaan tambahan PPVIN daripada beberapa kementerian lain.

“Kita juga dimaklumkan bahawa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna  (KPDNHEP) juga sedia melibatkan industri mereka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya