RAUB: Kerajaan negeri dijangka menanam pokok hutan antaranya membabitkan spesies meranti temak nipis di kawasan seluas 101 hektar menggantikan kira-kira11,000 pokok durian Musang King yang dimusnahkan.
Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasa), Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) Nor Azirim Ahmad berkata, melihat kerja-kerja memusnahkan pokok durian di Hutan Simpan Kekal Batu Talam di sini telah melebihi 85 hektar sehingga semalam.
Menurutt beliau, kerja-kerja menebang pokok raja buah itu dijangka siap minggu depan berbandiung dijadual pada 3 Ogos depan.
“Aktiviti menebang berjalan lancar pada Selasa lalu terutama selepas kehadiran anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang mengawal kawasan Hutan Simpan Batu Talam termasuk mengadakan dua sekatan jalan raya (SJR) di laluan masuk ke hutan simpan berkenaan.
“Selepas aktiviti menebang selesai sepenuhnya kerja menanam pokok hutan akan dilakukan segera yang mana beberapa spesies pokok hutan sudah dikenal pasti seperti meranti temak nipis,”katanya di sini, hari ini.
Operasi memusnahkan pokok durian Musang King di kawasan Hutan Simpan Kekal Batu Talam dimulakan pada 3 Julai lalu yang dijangka berakhir 2 Ogos depan.
Menurut Nor Azirim, kehadiran lebih ramai penebang terdiri daripada kakitangan JPNP dari setiap daerah di negeri ini melancarkan kerja memusnahkan pokok durian.
Beliau memberitahu, hampir 100 kakitangan JPNP menyertai Operasi Pamah dibantu anggota Unit Penguatkuasa Negeri Pahang (UPNP) yang menjalankan kerja menebang secara berterusan menggunakan mesin gergaji berantai.
“Faktor hujan pada sebelah petang selain angin kencang turut menjejaskan kelancaran aktiviti menebang yang jadual asal mengambil masa sebulan untuk siapkan,”ujarnya. – UTUSAN