Menghayati 10 hari terawal Zulhijah - Utusan Malaysia

Menghayati 10 hari terawal Zulhijah

UMAT Islam disaran mengambil kelebihan 10 hari terawal Zulhijah untuk melipat-gandakan amal ibadat dan membanyakkan doa agar Allah mengangkat wabak Covid-19. -GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Hari ini kita telah memasuki bulan Zulhijah 1442H, antara bulan yang mempunyai banyak kelebihan. Ia juga merupakan salah satu dari empat bulan-bulan haram (arba’ah hurum) yang disebut yang disebut dalam al-Quran. 

Allah SWT berfirman yang bermaksud: Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah SWT ialah 12 bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar larangan-Nya) dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah SWT beserta orang yang bertaqwa. (at-Taubah: 36)

Dalam hadis Nabi SAW menyebut dengan nama bagi bulan-bulan berkenaan. Antaranya hadis yang diriwayatkan Abi Bakrah Nufay’ bin al-Harith, beliau meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya zaman itu berputar sebagaimana keadaan perjalanan awalnya ketika Allah SWT menciptakan langit dan bumi. Setahun itu mempunyai 12 bulan diantaranya terdapat empat bulan haram (iaitu yang diharamkan berperang dalam bulan-bulan tersebut): Tiga bulan yang berturutan; Zulkaedah, Zulhijah, Muharam dan Rejab Mudhar, berada di antara bulan Jamadilakhir dan Syaaban. (Riwayat Imam al-Bukhari dan Imam Muslim)

Bulan Zulhijah secara keseluruhannya iaitu 10 hari yang terawal mempunyai kelebihan yang tersendiri. Ini dapat dilihat sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Demi waktu fajar; Dan malam yang sepuluh (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah SWT). (al-Fajr: 1-2)

Para ahli tafsir menyebut yang dimaksudkan dengan sepuluh malam itu ialah 10 hari terawal Zulhijah. Begitu juga dalam ayat yang lain Allah SWT berfirman yang maksudnya: Dan menyebut nama Allah Subhanahu wa Ta’ala, pada hari-hari yang tertentu, (al-Hajj: 28) 

Yang dimaksudkan dengan ‘hari yang ditentukan’ itu ialah 10 hari terawal Zulhijah (Ibn Kathir). 

Selain itu terdapat juga hadis-hadis yang menyebut secara khusus tentang kelebihan 10 terawal Zulhijah. 

Antaranya riwayat Ibn Abbas r.a yang mana Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Tiada hari-hari yang dilakukan amalan soleh yang paling disukai oleh Allah SWT melainkan hari-hari ini (Baginda SAW maksudkan: 10 hari terawal Zulhijah). 

“Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah: Walaupun jihad di jalan Allah SWT tidak dapat menandinginya? “Baginda SAW bersabda,”Walaupun jihad di jalan Allah SWT tidak dapat menandinginya, melainkan seorang lelaki yang keluar berjihad bersama hartanya, kemudian dia langsung tidak kembali. (Riwayat Imam al-Bukhari, Imam Abu Daud, Imam Ibn Majah, Imam al-Tirmizi) 

Berdasarkan nas-nas di atas adalah sangat sesuai untuk diambil perhatian tentang kelebihan 10 hari yang awal Zulhijah. Seterusnya memenuhkan hari-hari berkenaan dengan amal ibadah seperti membaca al-Quran, berzikir, bersedekah, berpuasa terutamanya pada hari Arafah dan lain-lain. 

Bagi yang berkemampuan digalakkan melakukan ibadah korban yang merupakan antara ibadah besar dalam musim ini. 

Ibnu Hajar dalam Fathu al-Bari menyebutkan kelebihan yang ada pada 10 terawal bulan Zulhijah ini adalah kerana berhimpun padanya ibadat-ibadat utama dalam Islam iaitu, sembahyang, puasa, sedekah dan haji.

Jika di bulan-bulan lain tidak ada ibadat haji maka di bulan ini ada ibadat haji, yang dengan ini menjadikan kelebihan yang ada 10 hari pertama Zulhijah ini mempunyai kelebihan yang berbeza dengan bulan-bulan lain (Ibn Hajar, Fath al-Bari, Syarah Sahih Muslim, 2\534)

Peluang-peluang begini yang datang setahun sekali adalah anugerah Allah SWT kepada umat ini. Bagi sesiapa yang menghayatinya akan dapat memperoleh segala kebaikan yang dijanjikan oleh Allah SWT yang menjadi bekal di hari akhirat. 

Muhammad bin Maslamah al-Ansari meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: yang bermaksud: Sesungguhnya Allah SWT pada hari-hari kalian memiliki anugerah-anugerah pemberian-Nya, maka carilah augerah yang telah dibentangkan oleh-Nya kepada kamu, boleh jadi di antara kamu mendapatkannya, maka sesekali kamu tidak akan celaka buat selamanya. (Riwayat Imam Al-Tabrani dalam Kitab Mu’jam al-Kabir

Dalam musim pandemik sekarang adalah lebih digalakkan untuk kita mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan beribadah dan membanyakkan istighfar serta bertaubat kepada-Nya. 

Mudah-mudahan dengan ibadah, istighfar dan taubat itu akan menjadi sebab kepada diangkat segala musibah daripada manusia. Usaha-usaha menghadapi wabak ini tidak boleh hanya bergantung kepada usaha-usaha fizikal tetapi hendaklah bersekali dengan usaha taqarrub kepada Allah SWT.

Ini kerana dalam Islam segala musibah dan penyakit adalah daripada Allah SWT dan hanya Allah sahaja yang berkuasa menghilangkannya. Pandemik ini menjadi ujian besar kepada kita semua dan setiap ujian daripada Allah SWT walau sekecil manapun adalah sebagai kaffarah kepada dosa-dosa yang dilakukan oleh manusia. 

Oleh itu usaha bertaqarrub kepada Allah SWT dengan pelaksanaan ibadah dan menghindari segala maksiat adalah juga satu usaha untuk menghilangkan musibah ini. 

Allah SWT mengajar dalam al-Quran dengan firman-Nya yang bermaksud: Dan sesungguhnya Kami telah utuskan Rasul-rasul kepada umat yang dahulu daripada kamu (lalu mereka mendustakannya) lalu kami seksakan mereka dengan kebuluran dan penyakit supaya mereka berdoa (kepada kami) dengan merendah diri (serta insaf dan bertaubat). (al-An’am: 42)  

Ayat ini mengajar kita untuk memahami sunnatullah daripada turunnya sesuatu azab agar manusia insaf dan kembali kepada Allah SWT. Oleh itu tidak ada cara lain kecuali kita semua perlu kembali kepada Allah.

Mudah-mudahan dengan semua pihak berusaha bertaqarrub kepada Allah SWT dengan segala amalan yang disarankan oleh agama ini khususnya mengambil peluang kelebihan Zulhijah ini akan menjemput rahmat Allah SWT kepada kita semua. Sekaligus akan menghilangkan musibah yang kita hadapi sekarang. 

Dalam hal ini umara’ dan ulama perlu menunjukkan model yang terbaik dalam memandu dan membimbing rakyat ke arah taqarrub dan menzahirkan keinsafan kepada Allah SWT.

 

 

  • DATUK DR. LUQMAN ABDULLAH ialah Mufti Wilayah Persekutuan

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya