MELAKA: Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) menutup 16 buah klinik komuniti di tiga daerah bagi memobilisasikan kakitangan sedia ada membantu pasukan yang menguruskan Covid-19 susulan peningkatan kes di Melaka.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, penutupan itu berkuat kuasa 19 Julai (esok) sehingga tarikh diumumkan kelak.
Menurut beliau, semua perkhidmatan klinik komuniti termasuk penjagaan luka akan dilakukan di klinik kesihatan berhampiran, manakala pesakit yang ingin mendapatkan rawatan selepas waktu pejabat boleh ke klinik yang menjalankan dua syif.
“Keputusan diambil sebagai strategi mengukuhkan keperluan sumber manusia di fasiliti kesihatan awam dengan memobilisasi kakitangan termasuk dari klinik komuniti untuk memberi tumpuan kepada perkhidmatan yang lebih memerlukan.
“Ini termasuklah di pusat penilaian Covid-19 (CAC), pusat pemberian vaksin (PPV), pusat saringan Covid-19, pusat kuarantin dan rawatan berisiko rendah (PKRC) serta di fasiliti kesihatan lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, kata beliau, Klinik Komuniti Batang Melaka di Jasin tidak ditutup kerana purata kedatangan harian di situ melebihi 100 pesakit.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan, Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Melaka turut mengambil langkah sama menutup Zon Hijau bermula esok, selepas berlaku kesesakan dan kelewatan rawatan kepada pesakit yang datang bagi kes-kes ringan serta tidak kritikal.
“Pemantauan dan penilaian berterusan dilakukan mendapati berlaku kesesakan di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Melaka yang menyebabkan ketidakselesaan pesakit serta kelewatan.
“Bagi mengurangkan kesesakan dan kelewatan tersebut, jabatan ini telah membuat keputusan untuk menutup zon hijau dan perkhidmatan akan dipindahkan ke Klinik Kesihatan Peringgit yang terletak hanya 1.5 kilometer dari Hospital Melaka,” jelasnya.
Katanya lagi, waktu operasi perkhidmatan di Klinik Kesihatan Peringgit yang sebelum ini beroperasi dari pukul 8 pagi sehingga 9.30 malam turut dipanjangkan kepada 24 jam bermula esok. – UTUSAN