KUALA LUMPUR: Malaysia masih mempunyai harapan untuk keluar daripada krisis politik, kesihatan dan ekonomi kritikal sekarang sekiranya kerajaan cepat belajar daripada kesilapan yang telah dibuat.
Bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, kerajaan mesti bersikap praktikal dan dinamik dari segi pendekatan dan tidak boleh malu untuk mendapatkan pandangan daripada pakar termasuk yang duduk di sebelah pembangkang.
“Sebab itu sesi Parlimen ini penting untuk kita berbahas dan mendapat pandangan kerana kita semua tiada pengalaman. Kita masih belum terlambat, kita boleh buat dan susun, kita belajar daripada kesilapan, kalau kita tak tukar formula itu, keputusan tetap akan sama,” katanya dalam wawancara dengan Mingguan Malaysia, kelmarin.
Menurut beliau, krisis kesihatan boleh diatasi sekiranya kerajaan memberi tumpuan vaksinasi di Lembah Klang dan selepas itu ke bandar-bandar besar lain kerana 73 peratus penduduk di negara ini tinggal dan berulang alik dalam bandar.
“Vaksin juga boleh diperoleh dengan cepat jika kita bersedia membayar dengan harga lebih mahal kepada syarikat pengeluar tanpa melalui orang tengah,” katanya.
Bagi mengatasi krisis ekonomi, katanya, tumpuan harus diberikan bagi membantu hampir empat juta orang yang bekerja dalam sektor informal seperti peniaga kecil kecilan, gerai, warung, kedai runcit, kedai gunting rambut, pemandu teksi, tukang paip dan pekerja gaji harian.
Katanya, golongan ini tidak mempunyai gaji tetap dan tidak mencarum dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
“Kalau setiap pekerja dalam kategori ini mempunyai empat orang ahli keluarga tanggungan mereka di rumah, sudah 16 juta orang terjejas. Ini sebabnya naik semua bendera putih kerana simpanan habis dan tidak boleh bekerja,” katanya
Mengenai penyelesaian krisis politik bagi mewujudkan kerajaan stabil, beliau yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berpandangan kerajaan Perikatan Nasional (PN) perlu dikekalkan, cuma Perdana Menteri harus ditukar.
“Dalam kalangan ahli-ahli Parlimen dalam PN ini, tak adakah orang lain yang boleh ambil jawatan Tan Sri Muhyiddin (Yassin) untuk menggantikan dalam keadaan hendak menguruskan krisis negara ini.
“Kita memerlukan orang yang sihat untuk menerajui pentadbiran negara, yang boleh mengawal dan berkoordinasi dengan menteri-menteri ini,” katanya. – UTUSAN