Lambakan punca durian 'Lepeh' turun harga  - Utusan Malaysia

Lambakan punca durian ‘Lepeh’ turun harga 

MOHD RIDZUAN Ismail bersama lambakan buah durian yang siap diisi ke dalam bakul  di Kampung Kechau Lipis, Pahang. - UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS: Lambakan durian musang king dan beberapa jenis baka lain di sini, menyebabkan harganya kini menjunam antara RM5 hingga RM15 sekilogram.

Tinjauan Utusan Malaysia  di rumah pekebun dan peniaga durian, Mohd. Ridzuan Ismail, 31, di di Kampung Kechau,  di sini semalam mendapati, berlaku lambakan raja buah itu hampir dua tan metrik yang dianggarkan antara 1,600 hingga 2,000 biji.

Harga durian terkini yang ditawarkan Mohd. Ridzuan lebih murah, iaitu durian kampung dengan harga RM5 sekilogram, durian kahwin (RM9/kg), D24A XO(RM12/kg), D24B XO (RM8/kg), D2 (RM15/kg), IOI (RM17/kg), musang king gred C (RM19/kg), musang king gred A (RM48/kg) dan musang king gred B (RM34/kg).

Berbanding sebelum ini, harga sewaktu buah mula gugur penghujung bulan Jun lalu iaitu musang king gred A dengan harga RM55 sekilogram, gred B (RM36/kg), gred C (RM28/kg) manakala baka D24 (RM22/Kg), IOI (RM24/Kg), Teka (RM25/Kg), durian Kampung (RM7/Kg) dan durian kahwin (RM13/Kg).

“Durian jenis D24A XO, D24B XO, D2, IOI dan musang king masih berlaku lambakan di kebun, saya berharap pelanggan datang berbelanja dengan tawaran harga yang cukup murah.

“Asalkan ada permintaan pelanggan yang gemar musang king dan baka yang lain, saya menawarkan harga lebih murah kerana hendak menghabiskan jualan buah ini. Sekiranya dibiarkan lama, kemungkinan pecah dan busuk,” katanya.

LAMBAKAN buah durian yang belum dipasarkan di depan rumah Mohd. Ridzuan Ismail di Kampung Kechau, Lipis, Pahang. – UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD

Mohd. Ridzuan berkata, kekurangan permintaan pelanggan menyebabkan harga raja buah itu melibatkan semua baka jatuh antara RM10 hingga RM30, malah musang king sudah mula dijual antara RM16 hingga RM20 sekilogram.

Dia yang berniaga buah durian di Bandar Baru Kuala Lipis berkata, pasaran yang cukup tenat ketika berdepan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan durian yang berkualiti dan mahal sebelum ini kurang mendapat permintaan.

“Lambakan durian sangat ketara pada musim ini disebabkan pasaran tidak dapat menembusi kawasan luar kerana sekatan daerah dan negeri.

“Harapan saya untuk memperoleh pendapatan lebih sedikit menjelang Hari Raya Aidiladha juga hampa kerana kekurangan pelanggan berikutan perantau dan saudara mara dari luar daerah ini tidak dapat pulang ke kampung,” katanya.

Menurutnya, dia tidak akan menjual mengikut skala harga yang ditetapkan sambil menegaskan tawaran harga lebih murah kepada pelanggan walaupun durian musang king baka terbaik dan bermutu.

Pemuda itu yang berasal dari Kampung Kechau dan mempunyai kebun durian seluas dua hektar berkata, rata-rata pekebun durian mengeluh kerana pasaran musim ini agak tenat dan tidak pulang modal bagi menampung pengurusan tanaman serta lain-lain kos. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya