Kertas buangan: 24 kontena diarah balik semula ke Kanada, AS - Utusan Malaysia

Kertas buangan: 24 kontena diarah balik semula ke Kanada, AS

SHARIFAH ZAKIAH Syed Sahab melihat kontena berisi bahan buangan kertas yang diimport dari Kanada dan AS yang cuba dilupuskan di negara ini secara tidak sah sewaktu pemeriksaan di NBCT, Butterworth, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Sebanyak 24 kontena diisi muatan bahan buangan kertas masing-masing 19 unit dari Kanada dan lima unit dari Amerika Syarikat (AS) yang cuba dilupuskan di negara ini dihantar pulang semula ke negara asal masing-masing.

Arahan itu dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang yang menjalankan pemeriksaan ke atas beberapa unit kontena di Pangkalan Kontena Butterworth Utara (NBCT) di sini semalam. 

 Pengarah JAS Pulau Pinang, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, siasatan mendapati pengimport kontena itu tidak mempunyai fasiliti penerima yang memiliki lesen daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) serta tiada lesen pengilang daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI). 

Menurut beliau, kegagalan pengimport mendapatkan kelulusan di premis penerima boleh membawa implikasi negatif seperti kemungkinan berlaku pelupusan dan pemprosesan sisa secara haram, pembakaran terbuka serta pelbagai masalah lain. 

Katanya, proses kitar semula di premis haram juga boleh menyebabkan isu pencemaran serius memandangkan operasi kitar semula kertas terpakai memerlukan kuantiti air yang banyak sehingga 45 meter padu air bagi setiap satu tan metrik kertas. 

“Operasi kitar semula itu juga akan menghasilkan air sisa atau efluen yang banyak serta boleh mencemarkan parit dan sungai jika tidak dirawat terlebih dahulu.  

“Mengikut perundangan, efluen perindustrian perlu dirawat terlebih dahulu sehingga mematuhi had piawaian  mengikut  Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009 sebelum dilepaskan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Selain pegawai JAS negeri, operasi di NBCT itu turut disertai pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia; wakil operator pelabuhan Penang Port Sdn. Bhd. (PPSB) dan wakil-wakil agensi perkapalan. 

Dalam pada itu, Sharifah Zakiah memaklumkan, terdapat peningkatan ketara kemasukan buangan sisa pepejal  termasuk buangan kertas ke negara ini sejak China mengumumkan larangan mutlak ke atas semua jenis buangan sisa pepejal masuk ke republik berkenaan bermula 1 Januari lalu. 

China menguatkuasakan larangan ke atas buangan plastik bermula 1 Januari 2017 diikuti dengan larangan 24 jenis buangan sisa pepejal lain pada 27 Julai tahun sama. 

“Keadaan itu telah menyebabkan pemain-pemain industri yang kebiasaannya mengimport buangan ke negara China telah berpindah operasi ke negara-negara Asia Tenggara termasuk Malaysia,” katanya. 

Dalam pada itu beliau menegaskan, masalah pengimportan itu perlu ditangani dengan serius kerana bahan buangan yang diimport melalui NBCT mungkin dibawa ke negeri-negeri lain bagi tujuan pemprosesan atau pelupusan secara haram. 

“Sehubungan itu, kerjasama semua pihak diperlukan bagi mengelakkan Malaysia daripada menjadi tong sampah dunia,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya