Keadilan buat adik Bella - Utusan Malaysia

Keadilan buat adik Bella

KEADAAN tangan Bella yang penuh dengan parut dan kesan melecur akibat penderaan .
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tular dalam ruangan Twitter hari ini mengenai isu penderaan kanak-kanak perempuan orang kurang upaya (OKU) down syndrome berumur 13 tahun dikenali sebagai Bella yang diselamatkan pihak polis dalam keadaan melecur dan bernanah di beberapa bahagian anggota badan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, SAC Saiful Annuar Yusoff berkata, pihaknya menerima laporan pada 24 Jun lalu mengenai kes tersebut dan mangsa segera diselamatkan selain dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk pemeriksaan.

“Mangsa mengalami kecederaan luka berjangkit di lengan dan kesan luka lama di seluruh tubuh badan. Siasatan mendapati unit kondominium tempat mangsa dijumpai juga didiami enam orang kanak-kanak dan dua daripada mereka merupakan OKU down syndrome,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Utusan Malaysia melaporkan kes penderaan kanak-kanak berusia 13 tahun yang diselamatkan pihak polis dan ditemui melecur di beberapa bahagian anggota badan.

Mangsa difahamkan sepatutnya berada di bawah jagaan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun.

Tular juga kenyataan Mona Din, individu yang menceritakan kes berkenaan di ruangan Facebooknya.

Menurut Mona, setelah mencurigai keadaan penghuni kondominium tersebut yang dipercayai positif Covid-19, beliau bergegas ke kediaman tersebut bagi mendapatkan penjelasan.

“Keluar sahaja Bella dari bilik stor, mukanya lemah, lengannya melecur bernanah. Kecurigaannya selama ini ternyata benar. Penjaga Bella selama ini pandai menyembunyikan keadaan Bella supaya tidak diketahui orang luar.

“Saya terus buat laporan polis. Rupanya Bella setiap pagi perlu berdiri di tepi dinding dan tidak diberi makan. Kalau dia duduk, budak-budak lain akan pukul. Rupanya lima budak lain juga turut memukulnya,” katanya.

Dalam pada itu, isu mengenai Bella tular di ruangan Twitter dengan tanda pagar #JusticeForBella.

Rata-rata warga Twitter menyatakan ketidakpuasan hati mereka terhadap isu penderaan yang berlaku. Mereka berharap agar kes ini dapat diselesaikan dengan seadilnya oleh pihak terlibat.

Kanak-kanak perempuan tersebut dilaporkan kini berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dengan pemantauan penuh dari sudut kesihatan mental dan fizikal. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya