SEREMBAN: Walaupun sambutan Hari Raya Aidiladha kali ini dibelenggu dengan peningkatan kes jangkitan Covid-19, orang ramai tetap melakukan persiapan menyediakan juadah bagi dinikmati bersama keluarga.
Meskipun di daerah ini, Aidiladha dilihat disambut agak suram ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan tiadanya kebenaran untuk melakukan ibadat korban dan solat Aidiladha, namun jualan daging segar ‘mantai’ tetap mendapat permintaan.
Seorang penjual daging, Shahfuannizam Zolkifly, 30, yang juga penternak di Rantau, dekat sini berkata, walaupun tempahan lembu korban sebanyak 68 ekor yang diterimanya dibatalkan pembeli, namun sambutan baik daripada pembeli daging segar untuk ‘mantai’ sedikit sebanyak memberi kelegaan.
“Melegakan sambutan bagi mantai seperti tahun-tahun sebelum ini sangat menggalakkan. Orang ramai mula beratur panjang sejak awal pagi.
“Disebabkan PKPD di Seremban, kami selalu mengingatkan kepada pembeli untuk mengikuti prosedur operasi standard (SOP), bimbang kami pula yang dikenakan kompaun oleh pihak berkuasa,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.
Sementara itu, seorang pembeli, Hafiz Zainuddin, 36, berkata, walaupun Aidiladha di Negeri Sembilan tanpa ibadat korban, juadah untuk menyambut hari raya tetap perlu disediakan.
“Lagipun ‘mantai’ adalah tradisi bagi penduduk di negeri ini. Walaupun terhalang dengan PKPD dan penularan Covid-19 namun Aidiladha perlu disambut juga walaupun tidak meriah.
“Masakan pagi raya perlu disediakan untuk dinikmati bersama keluarga. Rendang, lemang dan pelbagai masakan lain itu sahajalah yang menjadi penyeri dan pengubat duka untuk kita yang tidak dapat bertemu ibu dan bapa di kampung,” katanya. – UTUSAN ONLINE