JAS Pulau Pinang ingatkan jangan laku pembakaran terbuka - Utusan Malaysia

 JAS Pulau Pinang ingatkan jangan laku pembakaran terbuka

JAS Pulau Pinang mengesan peningkatan sehingga lima peratus membabitkan aktiviti pembakaran terbuka sepanjang Januari hingga akhir Jun lalu berbanding tempoh sama tahun lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 GEORGETOWN: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang menggesa orang ramai tidak melakukan pembakaran terbuka terutama di kawasan yang mudah dan sering terbakar berikutan cuaca panas dan kering ketika ini. 

Pengarahnya, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, ini berikutan pihaknya merekodkan peningkatan lima peratus aktiviti pembakaran terbuka antara Januari hingga 30 Jun tahun ini iaitu 374 aduan berbanding 355 aduan bagi tempoh sama tahun lalu. 

Menurut beliau, sebanyak 72 peratus daripada aduan melibatkan pembakaran sampah-sarap dan 13 peratus pembakaran sisa-sisa pembersihan kebun manakala selebihnya di kawasan pembinaan, industri, belukar dan sebagainya. 

“Statistik menunjukkan pembakaran terbuka sampah-sarap yang dikesan seringkali berlaku di kawasan perumahan termasuk kawasan lapang atau padang. 

“Selain itu pembakaran terbuka di tapak sampah haram juga menunjukkan bilangan yang agak tinggi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sharifah Zakian memberitahu, pembakaran terbuka di Daerah Timur Laut dicatatkan paling banyak iaitu 36 peratus diikuti Daerah Barat Daya (24 peratus); Seberang Perai Tengah (21 peratus); Seberang Perai Selatan (10 peratus) dan Seberang Perai Utara (9 peratus). 

Jelas beliau, pihaknya sentiasa bersiap siaga dan mengambil beberapa langkah untuk menangani isu pembakaran terbuka termasuk rondaan yang dilakukan secara intensif meskipun ketika dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0. 

Katanya, tindakan tegas akan diambil kepada mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab menyebabkan pembakaran terbuka termasuk pemilik tanah. 

Di bawah Seksyen 29(A), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, mereka yang disabitkan dengan kesalahan melakukan pembakaran terbuka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali. 

Kompaun maksimum sebanyak RM2,000 juga boleh dikenakan atas setiap kesalahan. – UTUSAN  

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya