Poklip nak cakap satu isu yang mungkin tiada kaitan sangat dengan dunia hiburan. Cuma bila ramai artis mengadu isu yang sama, jadi Poklip terpanggil nak menegur sikap segelintir rakyat kita.
Sebenarnya, Poklip sendiri bersimpati dengan mereka yang terjejas teruk dek pandemik. Malah, ada juga rakan-rakan Poklip yang mengadu sukar untuk mereka meneruskan hidup kerana tekanan pandemik ini.
Semampu dan sedayanya Poklip tolong. Kalau bukan dari segi wang ringgit, kita juga boleh menjadi bahu untuk mendengar masalah mereka. Bukan buat bodoh dan pentingkan diri sendiri kerana hidup kita okey.
Namun, satu lagi penyakit pentingkan diri sendiri yang sedang merebak dalam segelintir individu. Jenis manusia yang suka mengambil kesempatan di atas bantuan yang dihulurkan oleh pihak atau agensi tertentu.
Ada yang mendedahkan, terdapat segelintir individu yang berulang kali meminta bantuan malah turut memohon dana tertentu daripada pihak berbeza sebagai ‘simpanan’ masa hadapan. Amboi, perangai apa itu?
Poklip cuba memahami situasi si polan ini. Mungkin dia terdesak atau benar-benar memerlukan bantuan. Namun, itu bukan tiket untuk ‘menghalalkan’ perbuatan tersebut. Ramai juga yang terkesan dan terjejas.
Cuba kita bayangkan, sifat tamak itu boleh menyebabkan ramai orang tidak dapat menerima bantuan. Jadi janganlah bersikap pentingkan diri sendiri. Di saat sukar ini, kita sendiri jaga kita!