SIK: Lebih 200 penduduk dari Kampung Padang Toi dan Kampung Sungai Pau di sini, resah serta bimbang apabila jambatan besi yang sering digunakan untuk berulang-alik ke kebun getah, kelapa sawit dan dusun buah-buahan rosak.
Jambatan sepanjang kira-kira 36 meter dan lebar empat meter yang merintangi Sungai Chepir itu dibina lebih 15 tahun lalu.
Bagaimanapun, jambatan tersebut semakin tidak kukuh selepas didakwa berlaku hakisan tanah di kedua-dua tebingnya manakala lantainya pula banyak yang patah serta tertanggal sehingga mengancam keselamatan penduduk.
Penoreh getah, Junos Jusuh, 76, berkata, jambatan itu digunakan penduduk ke kebun getah dan mengangkut hasil torehan getah serta tanaman lain.
Menurutnya, penduduk berdekatan juga menggunakan jambatan itu sebagai jalan pintas ke pekan Sik, di sini.
“Hakisan tebing di jambatan itu berlaku sejak 10 tahun lalu berpunca daripada kejadian banjir besar,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Junos memberitahu, dia yang menunggang motosikal pernah terjatuh di tebing sungai ketika mahu menaiki jambatan itu sambil membawa guni berisi getah skrap seberat 60 kilogram.
“Dalam kejadian terbaharu, seorang penduduk dari Kampung Beris Jaya di sini turut terjatuh di tebing sungai ketika hendak melalui jambatan tersebut,” ujarnya.
Abdul Wahid Hasan, 50, pula berkata, penduduk di sini telah mengemukakan aduan mengenai kerosakan jambatan tersebut kepada Pejabat Daerah Sik tetapi masih tiada tindakan yang diambil.
“Saya berharap jambatan ini segera dibaiki atau dibina baharu dengan jambatan konkrit yang lebih kukuh,” katanya. – UTUSAN ONLINE