SHAH ALAM: Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) menyifatkan adalah mustahil berlaku suntikan tanpa vaksin kepada mana-mana penerima memandangkan beberapa perkara ditekankan semasa proses pemberian dilaksanakan.
Pengarahnya, Datuk Dr. Sha’ari Ngadiman berkata, terdapat tujuh perkara ditekankan semasa proses pemberian vaksin iaitu pemberi vaksin yang terlibat terdiri daripada kakitangan yang bertauliah dan terlatih serta dilantik secara rasmi oleh JKNS.
Selain itu, katanya, terdapat sekurang-kurangnya dua orang kakitangan terlibat dalam tugasan pemberian vaksin di setiap stesen iaitu seorang bertindak sebagai pemberi vaksin manakala seorang lagi penyedia dan saksi semasa ia dilakukan.
“Penyedia vaksin akan membuat persiapan vaksin dan menyedut vaksin ke dalam picagari khas mengikut sukatan yang ditentukan dan menyerahkannya kepada pemberi vaksin atau meletakkannya di dalam wadah khas yang berdekatan dengannya.
“Penyedia vaksin bertanggungjawab memastikan tiada picagari kosong yang belum berisi vaksin berada di atas troli,” katanya dalam kenyataan akhbar bagi mengulas video yang tular di media sosial berkaitan jarum suntikan kosong yang diberikan di sebuah hospital di Kuala Langat kelmarin.
Mengulas lanjut, Sha’ari memberitahu, sebelum vaksin disuntik, pemberi vaksin juga bertanggungjawab memastikan jenis vaksin yang akan diberi kepada penerima berdasarkan tagging yang dibuat semasa proses pendaftaran.
Tambah beliau, prosedur suntikan vaksin perlu dilakukan mengikut kaedah piawai suntikan intramuscular dan selesai selesai suntikan diberikan, picagari kosong akan dibuang ke dalam bekas alatan tajam yang terletak berdekatan dengan pemberi vaksin.
“Dengan pematuhan terhadap langkah-langkah di atas, adalah agak mustahil untuk berlakunya penyuntikan tanpa vaksin kepada mana-mana penerima.
“Pusat pemberian vaksin sentiasa berusaha memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan penyelarasan di peringkat hospital secara holistik telah diambil serta pemantauan berterusan dilakukan di peringkat pengurusan tertinggi Hospital,” ujarnya.
Utusan Malaysia semalam melaporkan satu video berdurasi 17 saat tular menunjukkan seorang penerima vaksin mendakwa dia menerima suntikan vaksin kosong di Hospital Banting, Kuala Langat. – UTUSAN