KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendakwa dua pertuduhan mahkamah terhadapnya adalah bermotif politik agar beliau tunduk kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Tegas Ahli Parlimen Muar itu, perkara itu terbukti apabila izin mendakwa kes tersebut telahpun dibuat Ogos 2020 lalu sebaliknya beliau dituduh pada hari ini.
“Malah siasatan telah pun bermula sejak April lalu, namun mengapa sehingga kini saya baharu dituduh ke mahkamah?
“Ini jelas menunjukkan pendakwaan ini wujud motif politik. Jadi saya akan bersihkan nama dalam perbicaraan mahkamah kelak,” katanya dalam sidang akhbar di pekarangan Kompleks Mahkamah di sini hari ini selepas membayar jaminan mahkamah.
Pengasas Parti Muda itu yang memakai suit hitam dan berkemeja putih dilihat keluar dari pekarangan mahkamah dengan ditemani ibu bapanya, Syed Abdul Rahman Syed Abdullah Al-Sagoff dan Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz.
Terdahulu, Syed Saddiq dihadapkan ke Mahkamah Seksyen di sini di atas tuduhan pecah amanah dan menyalah guna sumbangan pilihan raya yang keseluruhannya berjumlah RM1.12 juta.
Ia membabitkan dana amanah Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) berjumlah RM1 juta dan wang sumbangan untuk kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sebanyak RM120,000.
Dalam pada itu, selain menyifatkan pendakwaan itu sebagai permainan politik, Syed Saddiq mendakwa tindakan tersebut sebagai ugutan menjelang persidangan Parlimen pada minggu depan.
Beliau mendedahkan ugutan itu bukan sahaja melibatkan dirinya, malah juga berlaku di dalam kalangan ahli Parlimen lain sama ada kerajaan atau pembangkang
Bekas Ketua Armada Bersatu justeru itu mengingatkan dirinya dan ahli Parlimen lain agar tidak sesekali tunduk dengan ugutan itu dan terus melawan dengan kemahuan berkenaan.
Ketika ditanya pihak membuat ugutan tersebut, Syed Saddiq bakal mendedahkan perkara itu dalam Facebook Live pada pukul 8 malam ini.
“Selebihnya saya akan dedahkan dalam perbicaraan mahkamah,” ujar beliau.
Tegas Syed Saddiq, pendakwaan membabitkan nama beliau tidak akan sesekali melunturkan semangatnya untuk memerangi dan membersihkan Malaysia daripada amalan rasuah serta memperjuangkan nasib rakyat.
Katanya, ia merupakan agenda beliau sejak menceburi bidang politik dan sebelum bergelar Ahli Parlimen lagi. – UTUSAN