PASIR PUTEH: Masakan anak tebuan kedengaran agak janggal, namun menu itu popular dalam kalangan masyarakat Siam sebagai makanan eksotik yang istimewa dengan harga mencecah RM2,800 sekilogram.
Maka, tidak hairan jika Eh Rian Meen, 24, dari Kampung Gajah Mati, Semerak di sini sanggup menempuh bahaya disengat ‘gerombolan askar’ tebuan semata-mata mahu mendapatkan anak atau larva dari sarangnya.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Eh Rian memberitahu, walaupun dimasak ringkas seperti goreng kunyit, kelazatan anak tebuan dengan rasa lemak manis menyebabkan makanan eksotik itu digemari pelbagai peringkat usia.
“Di Malaysia, amat sukar memperoleh anak tebuan kerana tidak dijual di pasaran terbuka kecuali kedai memancing tertentu untuk dijadikan umpan mengail. Kalau ada pun, harganya sangat mahal.
“Anak tebuan mirip ulat sagu yang popular di Sarawak dan untuk mendapatkannya tidak semudah membeli ikan di pasar. Jika berjaya bawa pulang, ia menjadi sajian sangat istimewa untuk keluarga saya,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Memandangkan sengatan ‘askar’ tebuan boleh membawa maut, Eh Rian berkata, dia sentiasa berwaspada ketika melakukan kerja-kerja mengait sarang untuk mendapatkan anak tebuan dan dilengkapi peralatan seperti galah, obor, tangga, minyak tanah, parang serta lampu suluh.
“Selepas lokasi sarang dikenal pasti pada waktu siang, kerja mengait perlu dilakukan pada selepas malam bagi mengurangkan risiko disengat. Operasi ini seakan-akan mencari madu lebah liar di hutan,” katanya.
Seorang lagi pencari anak tebuan, Eh Klien Khen Dooi, 25, berkata, proses mendapatkan anak tebuan sukar dan mengambil masa kira-kira tiga jam, menyebabkan ia berstatus premium hingga lebih mahal dari sebiji durian musang king.
“Di Thailand, ia dikomersialkan apabila ada yang menternak tebuan semata-mata untuk mendapatkan larvanya.
“Di Kelantan, belum ada orang buat. Kami hanya mencari sarang tebuan liar dalam hutan. Kalau terjumpa, memang rezeki kamilah,” katanya yang gemar menikmati anak tebuan bakar atau goreng kunyit bersama nasi putih. – UTUSAN ONLINE