Oleh DATUK SERI DR. NORAINI AHMAD
MENTERI PENGAJIAN TINGGI
SAYA sentiasa percaya bahawa pembelajaran paling berharga adalah belajar bagaimana untuk berfikir (bukan apa yang harus difikirkan). Ini akan mendorong rasa ingin tahu seseorang tentang persekitarannya. Ada kala, belajar bagaimana berfikir dapat menghasilkan idea baharu. Pengarang Amerika, Earl Nightingale pernah berkata, “semuanya bermula dengan idea.”
Dalam banyak perbincangan dan pertemuan yang saya hadiri setiap hari, saya sering mendengar istilah ‘berfikir di luar kotak.’ Saya kaitkan istilah ini dengan memikirkan idea baharu untuk penyelesaian masalah. Malaysia merupakan sebuah “rumah” bagi ramai individu yang kreatif, inovatif dan mempunyai idea-idea luar biasa. Idea kreatif tentang bagaimana untuk menangani cabaran yang dihadapi oleh negara ini.
Ini terbukti menerusi pencapaian kita dalam Indeks Inovasi Global (GII) yang merupakan penanda aras global untuk perniagaan eksekutif dan pembuat dasar. Pada 2019, Malaysia berada di kedudukan ke-35 dan tahun lalu, kita naik ke tangga ke-33 walaupun berdepan wabak Covid-19.
Pada tahun lalu, anggota institusi pendidikan tinggi (IPT) kita telah membangunkan lebih 115 produk inovatif dan 27 sistem aplikasi untuk pengurusan Covid-19. Semua pencipta mempunyai satu persamaan; Semuanya bermula dengan idea.
Di negara lain, program-program yang meraikan idea baharu mendapat maklum balas positif daripada komuniti masing-masing. Ini merangkumi York Festival of Ideas dan Royal Academy Festival of Ideas di United Kingdom serta Adelaide Festival of Ideas di Australia. Tema utama dalam semua program ini adalah idea yang dikemukakan berpotensi membawa kesan positif kepada masyarakat.
Untuk meningkatkan idea kreatif dan inovatif tempatan, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dengan kerjasama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) akan menganjurkan Festival of Ideas 2021 yang pertama di Malaysia. Program ini akan dilancarkan pada jam 11 pagi, 6 Julai 2021 dan boleh disaksikan di laman Facebook rasmi KPT.
Pada dasarnya, Festival of Ideas Malaysia 2021 menyasarkan untuk mencapai empat objektif utama iaitu:
Platform bagi membolehkan perkongsian dan penjanaan idea baharu daripada pelbagai pihak.
Membolehkan kolaborasi antara kerajaan, ahli akademik, pemain industri dan masyarakat.
Menyediakan platform kepada pelajar dan masyarakat untuk memikirkan solusi kepada masalah yang melibatkan perkongsian kepakaran dari IPT.
Mewujudkan peluang yang mampu menggerakkan masyarakat ke arah kualiti hidup yang lebih tinggi dengan aspirasi melonjak Malaysia menjadi sebuah negara maju.
Berdasarkan objektif-objektif ini, jelas bahawa IPT sentiasa percaya dalam usaha untuk menyumbang secara efektif untuk pembangunan negara, penerapan quadruple helix concept adalah sangat penting di mana kolaborasi perlu dijalin dan dipertahankan antara universiti, industri, kerajaan dan masyarakat.
Sejajar dengan keadaan negara dalam menghadapi wabak Covid-19, perkongsian pengetahuan dan idea akan dilakukan di platform digital yang boleh diakses di https://foi.mohe.gov.my. Kompilasi cadangan dan kertas kerja berkala akan dijalankan menerusi platform ini manakala kemajuan mereka akan dikemas kini setiap minggu.
Diharapkan semua pihak dapat mengambil kesempatan untuk memanfaatkan platform dalam talian ini. Ia merupakan medium yang strategik supaya idea anda didengari. Dalam tempoh pandemik yang pertama kali kita alami ini, pembangunan penyelidikan dan inovasi negara serta menetapkan asas yang kukuh untuk kesejahteraan masyarakat adalah lebih penting daripada sebelumnya.
Oleh itu, usaha seperti Festival of Ideas perlu terus diperjuangkan. Tanpa ragu, apabila idea yang dikongsi kelak dilaksanakan, negara kita akan maju sepenuhnya. Selari dengan kata-kata bijak pencipta hebat, Thomas Edison, “Nilai sesuatu idea adalah dalam penggunaannya.” – UTUSAN