Durian samsu ada peminat tersendiri - Utusan Malaysia

Durian samsu ada peminat tersendiri

ZAIN Maarof menunjukkan durian hutan di gerai jualannya di Kampung Rawa, Lenggeng, Seremban, Negeri Sembilan. - UTUSAN/MUHAMMAD IZZAT TERMIZIE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Ketibaan musim durian, pastinya durian popular seperti Musang King, IOI atau sekadar durian kampung menjadi pilihan untuk dinikmati penggemar raja buah itu.

Namun, jarang sekali didengari untuk orang ramai mahu mencuba untuk merasa durian hutan atau dikenali dengan durian samsu atau durian sampo.

Menurut pengusaha kebun durian, Datuk Zain Maarof, 57, durian hutan dahulunya tidak bernilai kerana kurang mendapat permintaan namun situasinya berbeza ketika ini.

Jelasnya, permintaan terhadap durian itu kini agak tinggi malah mereka yang ingin mendapatkannya terpaksa pula menunggu bekalannya dan perlu menempah terlebih dahulu.

“Kini harga durian hutan boleh mencecah RM15 sekilogram. Dulu orang tidak makan durian hutan sebab bau dan rasanya yang pelik.

“Namun, bagi peminatnya, rasa yang unik dan tersendiri itulah yang mereka gemari sehinggakan belum sempat durian hutan ini diletakkan di gerai jualan, ia sudah ditempah,” katanya ketika ditemui di Kampung Rawa, Lenggeng, dekat sini hari ini.

Bagi peminat durian, Ishak Tamyes, 60 pula, dia sanggup menunggu asalkan dapat merasai keunikan rasa durian hutan itu.

“Saya sudah menempah beberapa hari lebih awal untuk mendapatkan durian hutan ini. Tidak semua orang suka durian hutan sebab rasa dan baunya, tetapi kalau sudah minat, orang akan cari juga” katanya.

Sementara itu, jelas Zain, selain durian hutan, dia juga menjual beberapa jenis durian unik seperti durian jantung, durian aiskrim dan durian ‘creamy bun’ serta durian premium yang lain. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya