SHAH ALAM: Dua lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas kesalahan melakukan samun berkumpulan terhadap seorang individu bulan lalu.
Kedua-dua tertuduh, Ramli Ab. Karim, 56, yang bekerja sebagai pembantu pejabat dan Ahmad Khairuddin Ahmad Subandi, 29, seorang pembantu kedai membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara bersama di hadapan Hakim Rasyihah Ghazali.
Berdasarkan pertuduhan, kedua-dua mereka didapati melakukan samun berkumpulan terhadap seorang lelaki dengan merompak telefon bimbit jenis Huawei dan iPhone 8 Plus, kad debit Bank Rakyat dan Maybank, wang tunai RM1,000 yang bernilai keseluruhan RM3,000 di Jalan SS17/2, Subang Jaya pada pukul 9.20 malam, 23 Jun lalu.
Mereka didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nur Zatil Hidayah Ali menawarkan jaminan sebanyak RM15,000 terhadap setiap tertuduh dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, Ramli merayu agar jumlah tersebut dikurangkan memandangkan dia perlu menyara dua orang anak termasuk seorang yang lumpuh selain isteri yang tidak bekerja.
Ahmad Khairuddin pula memberi alasan dia baru berkahwin dan menjaga orang tua yang sakit selain dua orang anak tiri termasuk seorang yang masih kecil.
Mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin selain mengarahkan setiap tertuduh melapor diri di balai polis berhampiran pada minggu pertama setiap bulan.
Kedua-dua tertuduh dilarang daripada mengganggu mangsa dan ahli keluarganya. Kes ditetapkan untuk sebutan pada 29 September ini. – UTUSAN ONLINE