SHAH ALAM: Seorang doktor veterinar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menggunakan jawatan untuk mendapatkan suapan bagi suaminya berjumlah RM58,617 antara Ogos 2019 hingga Jun 2020.
Norhamizah Abdul Hamid, 42, turut mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan pilihan selepas jurubahasa membacakan kesemua pertuduhan di hadapan Hakim, Rasyihah Ghazali.
Pertuduhan pertama dan kedua, Norhamizah didakwa menggunakan jawatan mendapatkan suapan bagi suaminya, Iqramudy Sumin, 39, sebagai pemilik syarikat Iqmiz Enterprise.
Menurut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa membuat syor memilih syarikat itu membekal peralatan klinik bergerak veterinar dan membekal peralatan makmal dengan harga RM19,720 dan RM19,937 pada 30 Ogos dan 11 November 2019.
Pertuduhan ketiga, pegawai veterinar gred GV44 itu didakwa membuat syor memilih syarikat sama melaksanakan kerja membekal makanan, makan tambahan (vitamin) dan syampu kucing dan anjing dengan harga RM18,960 pada 16 Jun 2020.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor di Seksyen 15, di sini.
Selain itu, Norhamizah didakwa didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah 24(1) Akta yang sama.
Sabit kesalahan, ibu kepada seorang anak itu boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Bagi tiga pertuduhan pilihan, wanita itu didakwa menerima rasuah RM58,617 untuk Iqramudy sebagai ganjaran melalui pengaruhnya dengan memberi kemudahan menjalankan kerja-kerja rasmi tersebut.
Bagi kesalahan itu, dia boleh dihukum di bawah Seksyen 163 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara setahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin menetapkan kes untuk sebutan pada 28 Ogos hadapan.- UTUSAN