Doktor kontrak sertai mogok aman - Utusan Malaysia

Doktor kontrak sertai mogok aman

SEKUMPULAN doktor kontrak yang melakukan perarakan aman mengelilingi blok hospital sejauh tiga kilometer di HSA, Johor Bahru di Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Lebih 30 doktor kontrak di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini menunjukkan solidariti kepada gerakan Hartal Doktor Kontrak dengan membuat perarakan aman di kawasan hospital tersebut. 

Tinjauan Utusan Malaysia di HSA mendapati, perarakan bermula pukul 11.10 pagi membabitkan sekumpulan doktor kontrak yang berpakaian serba hitam mula berarak di lobi utama mengelilingi blok hospital sejauh tiga kilometer.

Hasil pemantauan juga mendapati kesemua yang terlibat dalam perarakan aman itu menjaga prosedur operasi standard (SOP) dengan memakai pelitup muka serta menjaga penjarakan fizikal. 

Kelihatan seramai 20 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkawal di lokasi tersebut bagi memastikan perarakan dibuat dalam keadaan aman dan tenang tanpa melakukan sebarang provokasi.

Sementara itu, jurucakap doktor kontrak berkenaan berkata, kesemua doktor yang menyertai perarakan mogok aman itu berada dalam waktu rehat mereka dan tidak menjejaskan tugasan di hospital itu.

“Kami akan menyambung kembali tugasan selepas waktu rehat kami tamat nanti. Tiada kenyataan lain akan dikeluarkan kerana tujuan perarakan mogok ini sudah diketahui umum,” katanya sebelum bersurai dari perarakan itu.

Katanya, bukan semua doktor kontrak terlibat dalam perarakan mogok ini kerana ada antaranya terikat dengan tanggungjawab mengutamakan kepentingan pesakit terlebih dahulu. 

Berdasarkan maklumat, dianggarkan kira-kira 100 doktor kontrak yang bekerja di HSA ketika ini.

Di Kuala Lumpur, di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Hospital Bersepadu MAEPS turut menyertai mogok tersebut.

Kumpulan tersebut dilihat mengangkat plakad antaranya tertera tanda pagar #hartal, #contract dan #Justice4juniorDRS. Anggota media di sini turut diarahkan polis untuk beredar.

Gerakan Hartal Doktor Kontrak sebelum ini berkata, mogok akan diteruskan di hospital dan klinik kesihatan seluruh negara kerana kerajaan didakwa gagal memenuhi beberapa tuntutan kumpulan doktor kontrak dalam perkhidmatan awam.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah merayu supaya doktor kontrak tidak meneruskan hasrat mereka dengan gerakan mogok berkenaan.

Dr. Noor Hisham yang menulis di Facebooknya berkata, meminta supaya doktor kontrak tidak mengabaikan pesakit dengan melakukan mogok yang boleh menjejaskan ratusan nyawa serta kerjaya mereka sendiri.

Beliau mengingatkan semua doktor kontrak itu mengenai sumpah yang dilafazkan petugas kesihatan ketika memulakan kerjaya, iaitu ‘primum non nocere’, bererti ‘pertama, jangan membahayakan atau berlaku tidak adil kepada pesakit’. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya