PORT DICKSON: Balai Polis Lukut di sini ditutup mulai hari ini sehingga 16 Julai depan berikutan penularan jangkitan Covid-19 dalam kalangan anggota di balai tersebut.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, notis penutupan diterima daripada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) pada pukul 10.30 pagi tadi.
“Penutupan sementara ini berikutan berlakunya penularan Covid 19 melibatkan tiga orang anggota Balai Polis Lukut yang telah dikesan positif Covid dan juga untuk proses sanitasi balai yang akan dilakukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, ekoran penutupan Balai Polis Lukut, semua proses pentadbiran juga adalah dihentikan sementara.
Orang awam yang perlu berurusan dengan Balai Polis Lukut dalam tempoh ini diminta ke Balai Polis Port Dickson atau mana-mana balai polis yang berhampiran.
Sebarang pertanyaan, masyarakat daerah ini juga juga boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson di talian 06-6462999/06-6472222. – UTUSAN