Bonet Perodua Bezza jadi 'tin ikan sardin', sumbat warga Indonesia cuba rentas negeri - Utusan Malaysia

Bonet Perodua Bezza jadi ‘tin ikan sardin’, sumbat warga Indonesia cuba rentas negeri

TIGA lelaki warga Indonesia berhimpit dalam bonet kereta untuk merentas negeri di SJR Kilometer 30, Jalan Feri dekat Hutan Melintang hari ini. - UTUSAN/IHSAN PDRM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Cubaan tiga lelaki warga Indonesia merentas negeri dengan menyorok di bahagian bonet sebuah kereta gagal, apabila dikesan pihak berkuasa semasa pemeriksaan di sekatan jalan raya (SJR) di Kilometer 30, Jalan Feri dekat Hutan Melintang, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi itu, warga asing berusia 18, 32 dan 36 tahun ditahan bersama pemandu kereta sewa iaitu lelaki warga tempatan berusia 36 tahun.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, kereta jenis Perodua Bezza yang dalam perjalanan menghala Hutan Melintang itu ditahan selepas didapati berada dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, pemeriksaan ke atas kereta itu kemudian menemukan tiga lelaki warga asing berbaring dalam keadaan berhimpit di bahagian bonet.

“Semakan mendapati lelaki warga asing itu tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan diri yang sah.

“Kesemua mereka dalam perjalanan dari Sabak Bernam melalui Hutan Melintang ke Batu Gajah untuk mencari kerja sebagai tukang kebun,” katanya di sini.

Menurut beliau, berdasarkan siasatan, lelaki warga tempatan itu bertindak sebagai pemandu untuk menghantar warga asing tersebut ke Batu Gajah dengan bayaran RM300 seorang.

Katanya, keempat-empat lelaki itu juga tidak mempunyai sebarang dokumen surat rentas negeri yang sah di mana ia merupakan kesalahan di bawah Peraturan 16 Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPDPPB) 2021.

“Lelaki warga tempatan itu ditahan reman empat hari untuk siasatan di bawah Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63 kerana disyaki membawa dan melindungi warga asing.

“Tiga lelaki Indonesia itu pula direman selama 14 hari untuk siasatan di bawah Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan diri yang sah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya