SEREMBAN: Pemimpin dan ketua-ketua masyarakat perlu memainkan peranan termasuk mengambil langkah segera dalam hal berkaitan pemasangan bendera putih oleh golongan memerlukan bantuan.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Wanita, Keluarga Dan Kebajikan negeri, Nicole Tan Lee Koon berkata, pihaknya termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan peka sekiranya terdapat individu yang sangat memerlukan sehingga terpaksa memasang bendera putih di rumah.
Namun begitu, menurut beliau, untuk mengenal pasti dan mencari satu persatu, perkara itu bukan sesuatu yang mudah apatah lagi ia melibatkan kawasan yang luas.
“Saya selalu katakan, tugas JKM adalah mencari golongan sasar iaitu mereka yang memerlukan bantuan kebajikan dan kita tidak mahu mereka yang mencari JKM.
“Bagaimanapun, kita tidak dapat berbuat demikian jika tiada bantuan ketua-ketua masyarakat. Mereka adalah mata dan telinga wakil rakyat dan jabatan, kalau mereka tahu, beritahu kami dan tindakan sepatutnya akan diambil,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kebajikan ke rumah Nor Azian Che Jumaat Zul, 43, yang mengalami penyakit strok separuh badan selain penglihatan 98 peratus kabur di Taman Seremban Jaya, Seremban hari ini.
Dalam lawatan yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seremban Jaya, P. Gunasekaren itu, Lee Koon berkata, JKM meluluskan bantuan pesakit terlantar sebanyak RM500 sebulan selain pembelian katil khas untuk kegunaan Nor Azian.
Tambah beliau, ia selepas mengambil kira nasib yang menimpa keluarga itu termasuk suami Nor Azian, iaitu Mohd. Rizal Zulkifly, 43 yang terpaksa berhenti kerja untuk menjaga isterinya itu selain seorang anak lelakinya yang berusia 14 tahun.
Sementara itu, Mohd. Rizal yang juga bekas pesara tentera tidak berpencen memberitahu, isterinya itu mengalami strok dan penglihatan kabur selepas terjatuh di tempat kerjanya di sebuah stesen minyak di Paroi tahun lalu.
Jelasnya, Nor Azian terjatuh secara tiba-tiba dan mengakibatkan kepalanya terhentak pada komputer sekali gus berlaku pendarahan dalam otak.
“Doktor maklum terdapat darah beku dalam kepala selain urat kepala bocor serta perlu dibuat pembedahan. Doktor juga beritahu penyakit isterinya sukar dipulihkan kerana berlaku kerosakan pada urat.
“Saya juga dinasihatkan oleh doktor bahawa isteri perlu diberikan perhatian dan dijaga sepenuh masa untuk keselamatan. Oleh itu saya buat keputusan berhenti kerja pada April lalu dan memberi perhatian menjaga isteri yang kini berstatus orang kurang upaya (OKU) serta hanya berada atas kerusi roda,” katanya yang bekerja sebagai seorang pembantu di sebuah hotel sebelum ini.- UTUSAN