Belum masa calon SPM divaksin - Utusan Malaysia

Belum masa calon SPM divaksin

HOSPITAL swasta sedia memvaksinasi golongan remaja berusia 12 tahun hingga 17 tahun jika diminta kerajaan berbuat demikian. - GAMBAR HIASAN/UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan tidak akan memberikan vaksin Covid-19 kepada remaja berusia 17 tahun dan ke bawah termasuk calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) buat masa ini.

Ini berikutan vaksin tersebut didapati berisiko mencetuskan radang jantung kepada remaja berusia bawah 17 tahun.

Bagaimanapun, bercakap kepada Utusan Malaysia, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, vaksin Covid-19 akan diberikan kepada calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) pada bulan ini kerana golongan tersebut telah mencapai umur yang boleh menerima vaksin .

Menurut beliau, kerajaan mengambil pendirian tidak meneruskan hasrat memberi vaksin kepada calon SPM atau remaja bawah 17 tahun setelah meneliti laporan berhubung kes myocarditis dan pericarditis atau radang jantung yang berlaku selepas seseorang itu mengambil dos kedua suntikan vaksin.

Kata beliau, kebanyakan kes tersebut pula didapati lebih banyak menyerang golongan lelaki yang berusia lebih muda terutamanya kalangan remaja.

Adham memberitahu, walaupun kes radang jantung jarang berlaku tetapi kerajaan perlu menunggu perkembangan terbaharu risiko tersebut daripada pihak pengeluar semua vaksin sebelum membuat keputusan selanjutnya.

“Remaja 17 tahun belum boleh dapat vaksin lagi sebab ada kes jarang-jarang berlaku iaitu myocarditis dan pericarditis, jadi, pakar perubatan menasihatkan untuk tidak memberikan vaksin kepada kumpulan itu buat masa ini.

“Kita akan pertimbangkan semula setelah kita dapat data terbaharu daripada pihak pengeluar vaksin.

“Bagaimanapun, kita sudah pun mula beri suntikan vaksin kepada guru-guru terutamanya guru-guru mengajar tingkatan empat dan lima serta kakitangan sekolah seperti pekebun, pegawai keselamatan dan pengusaha kantin,” kata beliau.

Adham berkata, semua pelajar boleh kembali ke sekolah jika semua kakitangan sudah divaksinasi tetapi kena terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Sekolah boleh dibuka selepas suntikan vaksin diberikan kepada semua guru dan kakitangan sekolah, sebab mereka melindungi sekeliling sekolah. Tetapi mereka tetap perlu patuh kepada SOP dan kita tidak boleh leka.

“Jadi, kita sasarkan semua guru-guru dan kakitangan sekolah selesai suntikan vaksin pada bulan ini dan kami akan berbincang dengan Kementerian Pendidikan bila tarikh yang sesuai untuk pelajar masuk semula sekolah secara fizikal,” katanya.

Adham mengulas laporan Utusan Malaysia berhubung gesaan supaya kerajaan menyegerakan proses pemberian vaksin Covid-19 kepada lebih 400,000 pelajar yang akan menduduki SPM dan STPM tahun ini.

Gesaan tersebut susulan calon peperiksaan kesuntukan masa untuk membuat persiapan dan mengikuti pembelajaran berkualiti sebelum menduduki peperiksaan.

Ini setelah Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin memberi jangkaan bahawa vaksin Comirnaty keluaran Pfizer-BioNTech telah diluluskan kerajaan untuk diberikan kepada kanak-kanak berumur 12 tahun dan ke atas pada pertengahan bulan ini bagi dos pertama.

Menteri Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin turut bersetuju agar pelajar kelas peperiksaan diberi keutamaan untuk divaksin seperti yang telah dipersetujui oleh Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya